HARIMAU Selatan mempunyai ranking yang lebih tinggi berbanding juara Liga Perdana Inggeris (EPL) 1995, Blackburn. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
HARIMAU Selatan mempunyai ranking yang lebih tinggi berbanding juara Liga Perdana Inggeris (EPL) 1995, Blackburn. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Juara Sembilan kali Liga Super Johor Darul Ta'zim (JDT) membuktikan mereka bukanlah kelab 'biasa-biasa' apabila berada di ranking 573 dunia sekali gus berjaya mengatasi beberapa kelab ternama Eropah.

Berdasarkan laman analisis bola sepak iaitu Opta Analyst yang menyenaraikan hampir 13,500 kelab seluruh dunia meletakkan JDT di tangga 573 dengan rating sebanyak 71.80 mata.

Berdasarkan tinjauan di laman Twitter Opta Analyst, Harimau Selatan mempunyai ranking yang lebih tinggi berbanding juara Liga Perdana Inggeris (EPL) 1995, Blackburn Rovers dan juga kelab Sepanyol Real Zaragoza.

Berdasarkan senarai itu, selain daripada JDT, dua kelab daripada Asia Tenggara yang turut tersenarai adalah membabitkan pasukan dari Indonesia iaitu Persib Bandung dan Persija Jakarta yang masing-masing di tangga ke-1,798 dengan 63.74 mata dan di tempat ke 2,724 (59.80 mata).

Kelab dari liga paling popular dunia, EPL membabitkan Manchester City ditangga kedua, Liverpool kelima, Arsenal ketujuh dan Manchester United di tangga kelapan.

Gergasi Jerman, Bayern Munich menduduki tempat pertama dengan 100.00 mata, Barcelona di tangga ketiga dengan 95.04 manakala pendahulu terkini Serie A, Napoli di tangga kelima dengan 94.81 mata.

Real Madrid pula di tangga keenam dan Inter Milan di tempat kesembilan manakala kelab Lionel Messi dan Kylian Mbappe iaitu Paris Saint Germain melengkapkan 10 kelab teratas.

Menerusi senarai itu sekali gus menyaksikan JDT terus memartabatkan arena bola sepak negara sekali gus mendapat perhatian dunia bola sepak selain ranking ini juga adalah salah satu bukti penguasaan Harimau Selatan di Malaysia dan Asia Tenggara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2023 @ 4:41 PM