JDT sudah mencapai persetujuan menandatangani Nathaniel Shio Hong Wan (kiri) dari Wolves. FOTO Agensi
JDT sudah mencapai persetujuan menandatangani Nathaniel Shio Hong Wan (kiri) dari Wolves. FOTO Agensi
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Sentuhan Eropah dijangka memperkukuhkan lagi kekuatan skuad Harimau Malaya untuk tempoh panjang sekiranya usaha membawa pulang pemain muda kacukan Malaysia, Nathaniel Shio Hong Wan berjaya.

Nathaniel yang kini bersama kelab England, Wolverhampton Wanderers memiliki pertalian darah dengan negara ini apabila ibunya berasal dari Tangkak, Johor.

Dilahirkan di London, pemain berbakat besar berusia 20 tahun itu dilihat prospek masa depan negara dalam menguatkan pasukan kebangsaan.

Segala usaha untuk membawanya pulang kini sedang giat dilakukan kelab gergasi bola sepak tanahair, Johor Darul Ta'zim (JDT).

Malah, juara Liga Super sebanyak tujuh kali berturut-turut itu juga mengesahkan sudah berjaya mendapatkan persetujuan mengikat pemain kacukan yang beraksi di bahagian tengah itu.

Bagaimanapun, Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards berkata, segala perancangan terbabit hanya akan berlaku jika permohonan kerakyatan Malaysia berjaya.

Katanya lagi, sekiranya berjalan lancar, tidak mustahil aksi Nathaniel boleh disaksikan selepas Jun ini.

"Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim sudah mencapai persetujuan untuk menandatangani pemain kacukan Malaysia, Nathaniel Shio Hong Wan dari kelab Wolverhampton Wanderers.

"Perjanjian ini tertakluk kepada kejayaan permohonan kerakyatan Malaysia dan akan bermula apabila kontrak semasa beliau tamat pada bulan Jun," kata Edwards di laman Facebook rasmi JDT di Johor Southern Tigers.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2021 @ 2:34 PM