PENYERANG Uruguay, Luis Suarez mahu rakan sepasukan kerja keras menjelang aksi kalah mati menentang Portugal. FOTO AFP
PENYERANG Uruguay, Luis Suarez mahu rakan sepasukan kerja keras menjelang aksi kalah mati menentang Portugal. FOTO AFP
Reuters

SOCHI, Russia: Uruguay sudah melupakan aksi peringkat kumpulan dan kini fokus terhadap aksi pusingan 16 terakhir bertemu Portugal, kata penyerangnya, Luis Suarez menjelang pertembungan dua pasukan itu di Sochi, awal pagi esok.

Mengetepikan tuan rumah, Russia untuk menggungguli Kumpulan A, mereka kini berdepan cabaran juara Eropah itu yang dikemudi seteru Suarez dalam kancah La Liga, Cristiano Ronaldo.

“Amat penting untuk fokus sepenuhnya bagi aksi ini. Perlawanan peringkat kumpulan sudah menjadi kenangan. Anda perlu fokus untuk saat ini dan apa yang akan berlaku esok,” kata Suarez.

“Apabila ia membabitkan perseteruan dengan Ronaldo, kami sentiasa bekerja keras untuk mendapatkan keputusan terbaik.

“Ini Piala Dunia jadi sudah tentu kami akan mempertahankan dan berjuang untuk pasukan kebangsaan. Semua pemain akan memberikan yang terbaik esok.”

Jurulatih Oscar Tabarez turut berwaspada dengan Portugal khususnya penggempur berbisa mereka, Ronaldo.

“Saya percaya Ronaldo antara penyerang terbaik di dunia dan memiliki potensi hebat.

“Perancangan kami adalah untuk fokus terhadap lawan dan selepas melihat tahap setiap pemain, Ronaldo mengatasi semua kualiti yang ada dengan dia pemimpin pasukannya.

“Tiada seorang pemain mampu membendungnya termasuklah (Diego) Godin. Kami perlu bekerjasama untuk cuba meminimumkan pengaruh yang akan diberikannya nanti.”

Meskipun mempunyai populasi kecil, Uruguay memiliki sejarah membanggakan apabila muncul juara dua kali pada 1930 dan 1950 dan dengan kedudukan keempat pada kempen 2010, jangkaan penyokong sudah tentu tinggi.

“Kami perlu fokus sepenuhnya terhadap Portugal. Kami sudah bersedia dan bekerja dengan pasukan ini sepanjang 12 tahun untuk mencapai matlamat kami sedikit demi sedikit.

“Saya percaya kami kian hampir untuk mencapai objektif yang dimahukan dan kami mahu menyempurnakannya pada Piala Dunia kali ini,” kata jurulatih berusia 71 tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Jun 2018 @ 1:54 AM