Syaiful Rizal (kanan) dan Nazli Rasyid (kiri) ketika Konvensyen Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah. FOTO Ihsan YBR
Syaiful Rizal (kanan) dan Nazli Rasyid (kiri) ketika Konvensyen Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah. FOTO Ihsan YBR
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seramai 126 mahasiswa menyertai Program Konvensyen Angkatan Mahasiswa Antirasuah (Amar) dalam usaha memberi pengetahuan dan pendidikan meluas kepada pemimpin penuntut.

Yayasan Bank Rakyat (YBR) dalam kenyataan, memaklumkan ia bagi membolehkan golongan itu sedar bahawa tanggungjawab memerangi dan membanteras rasuah adalah tanggungjawab bersama.

Katanya, ia membabitkan mahasiswa dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA), institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), Institusi Pendidikan Guru (IPG) dan Institusi Pendidikan Mara (IPMa).

"Program yang menghimpunkan Presiden dan Timbalan Presiden Amar dalam kalangan mahasiswa itu dijalankan selama tiga hari.

"Ia bagi mendedahkan bahaya rasuah serta bencana yang akan menimpa negara jika rasuah tidak dibendung," katanya.

Menurutnya, sokongan daripada pemimpin-pemimpin penuntut daripada IPTA dan IPTS amat diperlukan dalam menangani pemahaman bahaya rasuah.

"Selain itu, matlamat program ini juga bertujuan melahirkan penuntut yang mampu menggerakkan kesedaran supaya menjadi sebuah masyarakat peka dan prihatin terhadap inisiatif pencegahan rasuah," katanya.

Majlis perasmian program itu disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nazli Rasyid Sulong.

Turut hadir, Pengurus Besar YBR Syaiful Rizal Abdul Ghani, Ketua Bahagian Operasi YBR Mohd Mukhti Abd Rahman serta Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Sementara itu, Nazli berkata, pihaknya berterima kasih kepada YBR kerana menaja program kesedaran itu sebagai pendedahan mengenai bahaya rasuah dan kesan rasuah kepada diri dan organisasi.

"Kesedaran ini perlu dipupuk dari peringkat IPTA dan IPTS supaya negara tidak ketandusan modal insan berintegriti dan bersifat antirasuah pada masa hadapan.

"Saya berharap program ini akan diteruskan pada masa akan datang dan dijadikan sebagai acara tahunan supaya ia menjadi kempen pencegahan rasuah lebih sistematik, bersepadu dan berterusan dalam kalangan mahasiswa.

"Ini kerana golongan itu bakal menjawat jawatan sebagai pegawai di sektor awam mahupun swasta," katanya pada majlis berkenaan yang berlangsung di Kem Permata Resort, Alor Gajah, Melaka.

Pengurus Besar YBR Syaiful Rizal berkata, mahasiswa dan siswi perlu didekati di peringkat awal untuk dipupuk dengan nilai murni dan asas pendidikan anti rasuah secara tidak formal.

Katanya, ia adalah bagi memastikan ketelusan dan integriti dapat disemat di hati mereka ketika masih belajar lagi.

"Inisiatif ini diharap dapat memberi pendedahan kepada mahasiswa untuk mengamalkan budaya kerja baik, bebas rasuah, meningkatkan disiplin dan integriti serta sikap tanggungjawab dalam tugas yang diamanahkan seawal di peringkat IPT.

"Dengan kerjasama bersama Seksyen Pendidikan Tinggi, Cawangan Pendidikan Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM juga memberi kesan positif terhadap penyertaan penuntut dalam mempelajari dan mendalami kepentingan anti rasuah.

"Usaha ini diharapkan dapat menjadi pemangkin bagi melahirkan generasi penggerak untuk aktiviti pendidikan antirasuah," katanya.

Berdasarkan kajian skor ketelusan tertinggi yang dijalankan oleh Wiki Impact tahun lalu, YBR disenaraikan antara tujuh yayasan mendapat markah tertinggi daripada 32 yayasan terbaik di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 6:09 PM