YUSOFF  (dua kanan) bergambar bersama Ketua Perwakilan Kalbe Malaysia Sdn Bhd Asep Dasuki (dua  kiri) memegang replika plakad AFL.
YUSOFF (dua kanan) bergambar bersama Ketua Perwakilan Kalbe Malaysia Sdn Bhd Asep Dasuki (dua kiri) memegang replika plakad AFL.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Selepas setahun berehat daripada arena bola sepak tempatan akibat pandemik Covid-19, Liga Amatur Malaysia kembali rancak dengan 20 pasukan bakal berentap merebut gelaran juara Liga M3 bagi musim 2021 bermula Jun ini.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) merangkap Pengerusi Liga Bolasepak Amatur (AFL), Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, kelewatan saingan Liga M3 bermula bagi menyelesaikan proses saringan dokumen semua pasukan yang mengambil sedikit masa.

Namun beliau percaya saingan divisyen ketiga Liga Malaysia itu akan berlangsung rancak dengan semua pasukan dilihat cukup bersemangat untuk mengharungi musim ini.

"Liga Amatur Malaysia sebahagian daripada struktur bola sepak Malaysia di mana pasukan di peringkat amatur ini dapat mempelajari proses yang diguna pakai di peringkat profesional.

"Pendidikan pengurusan serta pentadbiran dijalankan pada peringkat saringan dokumen ini akan memastikan pasukan amatur ini dapat meningkatkan kualiti mereka sebelum melangkah masuk ke Liga Perdana dan seterusnya Liga Super," katanya pada majlis pemeteraian perjanjian penajaan bersama Extra Joss menerusi Kalbe Malaysia Sdn Bhd dan turut dilangsungkan undian Liga M3.

Pada majlis undian itu, kesemua 20 pasukan dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu Kumpulan A dan Kumpulan B di mana setiap kumpulan terdiri daripada 10 pasukan. Peringkat kumpulan dan peringkat kalah mati (suku akhir dan separuh akhir) akan dimainkan secara timbal balik manakala final akan dijalankan secara satu pusingan.

Saingan peringkat kumpulan dijadualkan bermula 4 Jun-3 Oktober, suku akhir dan separuh akhir pada 8-31 Oktober dan final pada 13 November ini.

Berdasarkan format musim ini, tujuh pasukan teratas dari Kumpulan A dan Kumpulan B akan kekal di Liga M3 untuk musim depan manakala tiga pasukan tercorot bagi kedua-dua kumpulan pula akan diturunkan ke Liga M4 pada musim depan.

Dalam Kumpulan A menyaksikan MNY FC, Kijang Rangers FC, Cyberlynx FC, Manjung City FC, Perlis United FC, BRM FC, PIB FC, Kuala Lumpur Rovers, Armed Forces dan Ultimate FC.

Manakala Kumpulan B pula diisi pasukan Kinabalu Rangers FC, FC Langkawi, Kuala Kangsar FC, Harini KS FC, Langkawi City FC, Imigresen FC, Real Chukai FC, Malaysian University Football Team, Mahsa-Protap FC dan KSR Sains FC.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 11:35 PM