LION Junior Football Club antara pasukan yang berentap dalam saingan Liga Bola Sepak Perlis. FOTO Ihsan Facebook Kelab Bola Sepak Kuala Perlis
LION Junior Football Club antara pasukan yang berentap dalam saingan Liga Bola Sepak Perlis. FOTO Ihsan Facebook Kelab Bola Sepak Kuala Perlis
BERNAMA

Kangar: Sebanyak sepuluh pasukan terdiri daripada kelab bola sepak tempatan menyertai edisi pertama saingan Liga Bola Sepak Perlis yang bermula hari ini.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Perlis (MSNP) Anuar Abdullah berharap liga itu akan menjadi platform untuk mencari bakat baharu dalam sukan bola sepak di peringkat akar umbi di Perlis.

"Liga ini turut dianjurkan bagi membimbing kelab bola sepak dari segi pengurusan pasukan ke tahap lebih tinggi serta mengasah kemahiran pengadil bola sepak di negeri ini," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata pihak MSNP berharap liga itu mampu memeriahkan kembali sukan bola sepak di Perlis dan menjadi medan mencungkil bakat baharu yang mampu diketengah ke peringkat lebih tinggi iaitu Piala Belia atau Piala Presiden.

Katanya beliau kagum dengan kesungguhan serta semangat yang ditunjukkan oleh kelab bola sepak di Perlis dan akan membuat kajian untuk menambah baik liga itu dari segi jumlah penyertaan pada masa akan datang.

Pasukan yang berentap dalam saingan Liga Bola Sepak Perlis ialah Kelab Bola Sepak Sena City, Santan Rovers FC, GSA FC (Guar Syed Alwi), Kangar City FC, Repoh FC, KSMR FC, Perlis Cops FC, LFJC FC (Lion Junior Football Club), DB United FC dan Anas FC.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Februari 2022 @ 9:19 PM