SYED Khairi Amier Syed Radzuan (dua kanan) dan Kai Hong (dua kiri) bergambar kenangan selepas Majlis Menandatangani Kerjasama antara Kerteh FC dan Carabao di Kuala Lumpur, semalam. FOTO Kerteh FC
SYED Khairi Amier Syed Radzuan (dua kanan) dan Kai Hong (dua kiri) bergambar kenangan selepas Majlis Menandatangani Kerjasama antara Kerteh FC dan Carabao di Kuala Lumpur, semalam. FOTO Kerteh FC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Dalam usaha menjadikan pasukan Liga M4, Kerteh FC terus berdaya maju, kelab dikenali dengan julukan 'The Oilers' itu menjalinkan kerjasama dengan syarikat minuman terkemuka antarabangsa, Carabao, semalam.

Presiden Kerteh FC, Mohd Razeman Mat Nashim berkata, syarikat Carabao yang diasaskan pada 2002 oleh penyanyi rakyat Thailand, Aed Carabao menjadi rakan kongsi minuman tenaga rasmi Kerteh FC dan rakan kongsi pakaian barisan kejurulatihan bagi musim 2022/2023 dengan pilihan sehingga 2025.

"Hubungan inovatif ini membolehkan Carabao yang juga sebuah syarikat minuman tenaga terkemuka di rantau Asia dan Eropah mengembangkan lagi kehadirannya di Malaysia apabila logo syarikat berkenaan akan dipaparkan pada pakaian barisan kejurulatihan.

"Logo kerbau yang menampilkan burung merah adalah salah satu simbol komersial paling dikenali di pentas antarabangsa dengan tajaan dalam English Football League atau lebih dikenali Carabao Cup.

"Kami yakin kerjasama ini akan meningkatkan lagi daya saing kelab, sekali gus mengukuhkan sumber kewangan pasukan yang berhasrat untuk beraksi di pentas tertinggi Liga Malaysia (Liga M) satu masa nanti," katanya menerusi kenyataan kelab berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Carabao Malaysia, Tan Kai Hong berkata, beliau gembira apabila menjadi sebahagian daripada keluarga itu berkenaan dalam misi mengembangkan lagi sayap mereka dalam sukan bola sepak.

"Sejak tiga tahun lalu, pasukan Kerteh FC menjadi salah satu kelab yang mempunyai reputasi cemerlang, jadi kami gembira menjadi sebahagian keluarga kelab ini.

"Ia sejajar dengan misi membantu Kerteh FC menggapai objektifnya selain terus berdaya maju dalam sukan nombor satu di dunia ini," katanya.

Sebelum ini, kelab bola sepak komuniti ditubuhkan pada 2018 dan pernah memenangi gelaran berganda Liga Amatur Terengganu (TAL) pada 2019 itu melancarkan produk beras premium super import berjenama buah-buahan yang kini berada di pasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Jun 2022 @ 7:41 PM