RIDHWAN berkata ia akan menjadi medan terbaik untuk melahirkan lebih ramai bakat tempatan selain persediaan menuju ke pentas profesional. FOTO NAZRI ABU BAKAR
RIDHWAN berkata ia akan menjadi medan terbaik untuk melahirkan lebih ramai bakat tempatan selain persediaan menuju ke pentas profesional. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Saingan bola sepak amatur terus rancak pada tahun ini selepas Negeri Sembilan dan Melaka menjadi destinasi terbaharu untuk penganjuran Liga M5 bermula bulan depan.

Inisiatif itu dimeterai menerusi Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Super Football League dan Persatuan Bolasepak Melayu Melaka (PBSMM) yang berlangsung di ibu negara, petang semalam.

Presiden PBSMM, Datuk Mohd Ridhwan Tun Mohd Ali berkata projek yang mendapat sokongan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Amatur (AFL) itu akan menjadi medan terbaik untuk melahirkan lebih ramai bakat tempatan selain persediaan menuju ke pentas profesional.

"Kita akan lihat tahap sambutan Liga M5 untuk musim ini. Kalau ia berjalan dengan baik, maka kita akan teruskan kerjasama ini.

"Apa yang penting, liga di Melaka ini untuk mengetengahkan bakat-bakat muda dari negeri ini supaya orang luar boleh menilai dan melihat potensi mereka.

"Jadi, menerusi kerjasama ini, kita akan membuka penyertaan dan mensasarkan 32 pasukan untuk berentap dengan hadiah sebanyak RM23,000," kata Ridhwan.

Sementara itu, Pengerusi AFL, Datuk Mohd Yusuf Mahadi menyifatkan usaha ini sebagai satu perkembangan positif dalam mengangkat martabat dan industri bola sepak tempatan.

"Kita memang menggalakkan bola sepak negeri dapat menganjurkan liga seperti ini dan membuka peluang juga kepada penganjur-penganjur persendirian supaya mendaftarkan identiti mereka kepada kita.

"Setakat ini, sebanyak 15 saingan Liga M5 sudah dijalankan di negara ini seperti di Selangor, Negeri Sembilan, Sabah, Sarawak, Perlis, Kelantan dan akan datang di Terengganu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2024 @ 10:47 PM