HANNAH (dua dari kanan) pada sidang media selepas majlis pelancaran Liga Wanita Nasional (LWN) yang turut dihadiri Hamidin (kanan), hari ini. FOTO BERNAMA
HANNAH (dua dari kanan) pada sidang media selepas majlis pelancaran Liga Wanita Nasional (LWN) yang turut dihadiri Hamidin (kanan), hari ini. FOTO BERNAMA
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil serius titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mempercepatkan proses serta mengumumkan hasil siasatan terkini membabitkan bintang Selangor FC, Faisal Halim yang menjadi mangsa kes simbah asid, 5 Mei lalu.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, orang ramai ternanti-nantikan perkembangan terbaharu dan apabila ia tidak berlaku, situasi itu menimbulkan pelbagai andaian kurang enak terhadap isu berkenaan sehingga mendapat kemurkaan daripada Sultan Selangor.

Jelasnya, isu membabitkan pemain sayap Harimau Malaya itu amat besar apatah lagi ia pertama kali terjadi kepada pemain bola sepak sehingga pemain kelahiran Pulau Pinang itu melecur tahap empat.

"Mengenai titah Sultan Selangor, saya rasa ini berkaitan dengan Faisal Halim. Selagi polis belum memaklumkan hasil siasatan mereka, bukan sahaja Sultan Selangor, saya dengar ramai berjumpa saya dan peminat sukan mahu keadilan terhadap isu ini. Mereka mahu tahu keadilan dan perkembangan semasa hasil siasatan.

"Sebab itu saya ingin menggesa pihak polis untuk segerakan dan maklumkan kepada orang ramai supaya kes ini boleh ke peringkat seterusnya.

"Kalau tiada hasil siasatan itu, orang ramai tidak boleh 'move on' kerana Faisal Halim adalah aset negara," katanya selepas Majlis Pelancaran Liga Wanita Nasional, hari ini.

Selain itu, Hannah turut berharap proses mengenai rayuan yang akan dilakukan Selangor FC kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) akan berjalan lancar, sekali gus boleh mencari jalan penyelesaian terbaik untuk kedua-dua pihak.

Beliau berkata, ini kerana Red Giants ingin membawa keputusan hukuman tidak hadir perlawanan Piala Sumbangsih ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) atau sivil.

"Proses rayuan itu kena habiskan dulu di peringkat MFL. Saya tahu ada platform itu untuk rayuan dan saya dengar Selangor FC akan merayu dan saya harap proses rayuan itu berjalan lancar," katanya.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan Sultan Selangor menzahirkan rasa kecewa dan amat dukacita dengan keputusan ahli MFL serta ahli Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) khususnya Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berhubung kes ketidakhadiran Selangor FC ke perlawanan Piala Sumbangsih, 10 Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 6:26 PM