SADEK gesa pasukan beraksi di Liga M supaya ukur baju di badan sendiri.
SADEK gesa pasukan beraksi di Liga M supaya ukur baju di badan sendiri.
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) perlu tegas dalam isu kelayakan sesebuah pasukan yang akan bertanding di dalam saingan Liga Super agar masalah sama tidak berulang sehingga mencemarkan nama MFL sebagai pengelola Liga Malaysia.

Pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustaffa berkata, setiap pasukan yang ingin bertanding dalam saingan liga utama di Malaysia, perlu menetapi kriteria secukupnya yang ditetapkan MFL agar ia tidak menimbulkan masalah di kemudian hari.

Jelasnya, jika MFL ingin menambah pasukan yang datang dari Liga M3, mereka harus melihat perkara ini secara serius dan perlu melakukan tapisan yang ketat kerana jurang antara dua liga ini amat besar.

"MFL perlu kekalkan kepada mereka yang menepati kriteria ditetapkan oleh MFL. Itu paling penting sekali sebab perkara tentang bayaran gaji telah cemarkan imej MFL.

"Ini jalan terbaik bagi pasukan bertanding dan pastikan mereka tidak terjebak dengan isu asas dalam pengurusan bola sepak. Pada saya, mereka yang ada di Liga M3 pun perlu menepati kriteria supaya layak berada dalam Liga Super.

"Skop Liga M3 dari segi pengurusan kewangan tidak begitu meluas dan aspek logistik tidak sebesar seperti Liga Super. Jika mereka yang berada di Liga M3 benar-benar mencukupi kriteria barulah diberikan lesen untuk bertanding. Jika tidak kekal sahaja dalam Liga M3 supaya tidak terjebak dengan isu bayaran gaji.

"Bukan sahaja kewangan tapi pelbagai aspek kena lihat. Kita tak mahu setakat memenuhkan kuota tapi tidak menunjukkan persembahan yang baik dalam Liga Super dan menjdi bahan lawak," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Semalam, Arena Metro melaporkan Jawatankuasa Rayuan Pelesenan Kelab Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menolak rayuan permohonan Lesen Kebangsaan Kelantan FC untuk bertanding dalam Liga Super musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2024 @ 4:53 PM