FODEN (kanan) kurang menyerlah ketika menentang Serbia. FOTO AFP
FODEN (kanan) kurang menyerlah ketika menentang Serbia. FOTO AFP
AFP

Frankfurt, Jerman: Gareth Southgate perlu menyelesaikan masalah Phil Foden selepas tonggak England itu bergelut mengulangi prestasi cemerlangnya ketika bersama Manchester City di peringkat antarabangsa.

Ketika England boleh memastikan kemaraan ke saingan 16 terakhir Euro 2024 dengan menewaskan Denmark di Frankfurt tengah malam esok, prestasi hambar terbaru Foden untuk negaranya mencetuskan perdebatan sama ada Southgate perlu meletakkan dia di bangku simpanan sahaja.

Foden kurang berkesan ketika England menang tipis 1-0 ke atas Serbia dalam aksi pertama Kumpulan C di Gelsenkirchen Ahad lalu.

Pemain berusia 24 tahun itu dipilih Pemain Terbaik Tahunan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menjaringkan 19 gol dan mencipta lapan bantuan jaringan ketika City muncul juara EPL kali keempat berturut-turut.

Namun, Foden tidak pernah selesa ketika menyarung jersi Three Lions. Dia bergelut pada Euro 2020, tampil hambar pada dua perlawanan pertama dan hanya beraksi 25 minit selepas itu sebelum tersisih ketika England menentang Itali pada final akibat kecederaan.

Susulan sumbangan tidak konsisten pada Piala Dunia di Qatar, Foden hanya menjaringkan satu gol dalam 13 aksi antarabangsa terakhirnya.

Keputusan Southgate membenarkan Jude Bellingham memakai jersi nombor 10 dan menggunakan Bukayo Saka di sebelah kanan memaksa Foden beraksi di bahagian sayap kiri ketika menentang Serbia.

Tidak seperti di City, Pep Guardiola selesa memberikan Foden jersi nombor 10 manakala dia turut beberap kali beraksi di bahagian sayap kanan.

Bekas pertahanan Manchester City dan England Micah Richards mempersoalkan sama ada Southgate memberikan Foden peranan yang tepat.

"Apabila anda mempunyai bakat hebat seperti Foden, anda perlu memanfaatkannya dengan memberikan peranan paling tepat di bahagian tengah padang," kata Richards.

"Kadang-kadang apabila dia berada di sebelah kiri, anda meletakkannya di posisi di mana dia perlu melepasi kawalan pemain lawan, itu bukan permainannya."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 10:29 AM