FODEN bersama hasil pancingnya di Jerman. FOTO Instagram phil foden
FODEN bersama hasil pancingnya di Jerman. FOTO Instagram phil foden
Agensi

London: Phil Foden masih belum berada pada prestasi terbaik di Euro tetapi dia cuba meredakan keresahannya dengan melakukan aktiviti memancing di tasik sekitar pusat latihan England di Jerman.

Bintang Manchester City itu sempat melepaskan tekanannya dengan memancing ikan di resort Weimarer Land Spa dan Golf di Blankenhain, timur Jerman.

Foden satu-satunya pemain dalam skuad 26 pemain Gareth Southgate yang membawa rod pancing dan mengikut jejak bekas bintang England Paul Gascoigne.

Menurut pemain berusia 24 tahun itu: "Saya masih ada sedikit masa untuk memancing, jadi ia sudah cukup baik.

"Saya berjaya mendapat beberapa ikan besar! Puas hati dapat memancing ikan seperti itu."

Bagaimanapun, penyokong England masih menunggu Foden untuk 'memancing' semula prestasinya di Euro 2024.

Dia hambar ketika England menang tipis 1-0 ke atas Serbia tetapi semakin baik ketika seri 1-1 dengan Denmark apabila percubaannya terkena tiang pada babak kedua.

Dia masih berpeluang membuktikan kemampuan sebenar seperti dilakukan bersama City sehingga dinobatkan Pemain Terbaik Tahunan PFA apabila England menentang Slovenia awal pagi Rabu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2024 @ 12:31 PM