FIRDAUS (berbaju biru) menunjukkan kediaman keluarganya yang terbakar di Kampung Aman terbakar awal pagi tadi.FOTO Hazira Ahmad Zaidi
FIRDAUS (berbaju biru) menunjukkan kediaman keluarganya yang terbakar di Kampung Aman terbakar awal pagi tadi.FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Peniaga santan berputih mata apabila wang tunai RM20,000 dan barang kemas bernilai RM15,000 hangus selepas rumahnya di Kampung Aman, dekat sini terbakar awal pagi tadi.

Wang yang dikumpul Rosli Mamat dan Siti Rokiah Mahmood, masing-masing 64 tahun sejak berniaga santan pada 2015 itu dikatakan tidak sempat disimpan ke dalam akaun Tabung Haji.

Anak mangsa, Mohd Firdaus Rosli, 38, berkata dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, dia bersama isteri, Hartiki Hasbullah, 37, dan anak mereka, Muhammad Firas Harraz, 10, serta kedua ibu bapanya tidak berada di rumah kerana mengadakan sambutan hari keluarga di Tok Bali, Pasir Puteh.

"Saya mengetahui mengenai kejadian itu daripada sepupu yang tinggal bersebelahan rumah selepas dia mendengar bunyi letupan kecil sebelum tersedar dari tidur," katanya.

Mohd Firdaus berkata, selain wang tunai tu, turut musnah dalam kejadian itu, barang kemas milik ibunya yang bernilai RM15,000, modal pusingan, dua kereta iaitu Proton Wira dan Perodua Kancil serta tiga motosikal dengan anggaran keseluruhan kerugian hampir RM200,000.

Katanya, mereka sekeluarga reda dengan apa yang berlaku dan sementara waktu akan menumpang teduh di rumah saudara yang terletak tidak jauh dari lokasi rumah terbakar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 2:27 PM