MUHAMMAD Mukhairi Ajmal (tengah) melompat meraikan jaringan gol pertama pasukan Selangor FC. FOTO Bernama
MUHAMMAD Mukhairi Ajmal (tengah) melompat meraikan jaringan gol pertama pasukan Selangor FC. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kelana Jaya: Selangor melangkah bergaya ke suku akhir Piala FA apabila membelasah Sri Pahang 4-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), hari ini.

Gergasi Merah mula menunjukkan kekuatan mereka pada minit ke-41 apabila Mukhairi Ajmal Mahadi berjaya membuka tirai jaringan selepas rembatannya gagal diselamatkan penjaga gol Sri Pahang, Izham Tarmizi Roslan.

Pemain tengah berusia 21 tahun itu kemudian menambah gol kedua pada minit ke-59 menerusi satu rembatan menarik selepas menerima umpanan Quentin Cheng.

Pintu gol Sri Pahang bolos lagi pada minit ke-67 dan kali ini giliran Faisal Halim pula mencetak nama selaku penjaring sebelum Brendan Gan melengkapkan kemenangan bergaya Selangor apabila meledak gol keempat Gergasi Merah, lima minit kemudian.

Keputusan itu turut menyaksikan Selangor muncul pasukan pertama meleburkan rekod tanpa kalah Sri Pahang selepas sembilan perlawanan musim ini termasuk lapan dalam Liga Super dan satu di Piala FA.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe kemudian akan menentang Negeri Sembilan di pusingan suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2023 @ 2:30 AM