FAISAL Halim meraikan peminat selepas tamat perlawanan. -FOTO FB Selangor FC
FAISAL Halim meraikan peminat selepas tamat perlawanan. -FOTO FB Selangor FC
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Selangor seolah memberi amaran bahawa mereka bukan pasukan 'biasa-biasa' pada musim ini apabila terus mencipta keputusan positif dalam perlawanan persahabatan dengan kali ini menundukkan Perak FC dalam di Stadium Negeri Perak, Ipoh, semalam.

Kedua-dua pasukan menurunkan barisan terkuat dengan Selangor menggunakan khidmat trio serangan berbisa iaitu Faisal Halim, Alvin Fortes dan Ronnie Fernandez.

Perak terlebih dahulu di depan pada minit ke-31 hasil jaringan Wan Zack Haikal yang telah memperdaya beberapa pemain pertahanan Selangor sebelum meledak jaringan buat Perak.

Bersambung babak kedua perlawanan, Selangor tampil dengan corak menyerang dan hanya tiga minit masa diperlukan untuk Selangor mendapat jaringan penyamaan menerusi Alvin Fortes.

Selangor menambah derita Perak hasil penyudah menarik daripada Faisal Halim yang sama sekali menewaskan penjaga gol Perak, Ramadhan Hamid.

Yohandry Orozco pula mencipta nama sebagai penjaring selepas meledak pada minit ke-77 melalui penyudah hasil satu serangan balas pantas.

Kedudukan 3-1 itu hanya bertahan lima minit selepas Perak berjaya merapatkan kedudukan menjadi 3-2 melalui penyudah penyerang import dari Perak, Lim Tae-min.

Selepas ini, Selangor akan melayani kunjungan tiga kelab Asia Tenggara, iaitu DPMM FC dari Brunei, Balestier Khalsa FC dari Singapura dan Young Elephants FC dari Laos bagi saingan Piala Cabaran Asia 2024.

Sementara itu, jurulatih Selangor Nidzam Jamil mengakui keserasian dan persembahan yang ditampilkan barisan pemainnya semakin mantap.

"Semua pemain mempamerkan semangat juang yang tinggi ketika sesi latihan dan sering berusaha untuk melakukan terbaik untuk pasukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2024 @ 2:02 PM