PEMAIN Selangor FC meraikan jaringan di Paroi. FOTO Selangor FC
PEMAIN Selangor FC meraikan jaringan di Paroi. FOTO Selangor FC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Selangor FC menyerlahkan kehebatan mereka apabila membelasah Negeri Sembilan FC (NSFC), 4-0, pada aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.

Kemenangan itu membolehkan skuad The Red Giants memperkukuhkan lagi kedudukan dalam carta liga di tempat kedua dengan mengumpul 49 mata.

Selangor dilihat mendominasi kedua-dua babak perlawanan dengan melakukan serangan bertali arus ke kawasan kubu Negeri Sembilan.

Jentera serangan pasukan itu membabitkan gandingan Richmond Boakye Yiadom, Yohandry Jose Orozco dan Ayron Del Valle jelas lebih progresif apabila kerap melakukan percubaan ke arah pintu gol Negeri Sembilan hingga membuatkan benteng pertahanan tuan rumah bekerja keras bagi menafikan serangan terbabit.

Usaha anak buah Tan Cheng Hoe untuk mendapatkan gol pertama membuahkan hasil gerakan pantas apabila sepakan padu Richmond Boakye dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol Negeri Sembilan, Muhammad Firdaus Irman Mohd Fadhil pada minit ke-26.

Skuad Hobin Jang Hobin yang hanya menurunkan dua pemain import iaitu Herold Goulon di posisi pertahanan dan Casagrande di barisan depan sesekali dilihat berjaya melepasi pertahanan Selangor, namun percubaan dilakukan ke arah pintu gol pelawat itu tidak menepati sasaran atau diselamatkan penjaga gol, Samuel Jacob Somerville.

Usaha anak buah K Devan untuk menyamakan kedudukan pada babak pertama jelas tidak kesampaian.

Bersambung babak kedua, Selangor menggandakan kekuatan mereka dan berjaya menambah gol kedua pada minit ke-58 menerusi jaringan Ayron Rodriguez.

Jaringan itu berpunca daripada kesilapan pertahanan Negeri Sembilan yang gagal mengeluarkan bola dalam kawasan gol sekali gus memudahkan Ayron menolak masuk.

Negeri Sembilan berpeluang merapatkan jurang gol, namun bola hantaran Guolon di depan gol Selangor gagal disempurnakan dengan baik oleh Casagrande apabila sepakan tersasar meskipun hanya berdepan penjaga gol Selangor.

Sebaliknya, Selangor melebarkan lagi jurang menerusi gol ketiga dan keempat jaringan Yohandry Orozco pada minit ke-74 dan Harith Haiqal Adam Afkar pada minit ke-83 untuk melengkapkan kemenangan bergaya pasukan pelawat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2023 @ 11:11 PM