BAS yang terbabit dalam kemalangan dengan treler di Jalan Kuantan-Segamat, Rompin, baru-baru ini.
BAS yang terbabit dalam kemalangan dengan treler di Jalan Kuantan-Segamat, Rompin, baru-baru ini.
Asrol Awang


Kuantan: Polis sedang menunggu laporan bedah siasat dalam kes kemalangan maut membabitkan bas persiaran dan sebuah treler di Jalan Kuantan-Segamat, Rompin pada 9 Jun lalu.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Noor Hisam Nordin, berkata laporan itu bagi melengkapkan siasatan sebelum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

"Setakat ini, polis dalam proses melengkapkan kertas siasatan dan masih menunggu laporan bedah siasat.

"Laporan itu kemudiannya akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini, hari ini.

Dalam kemalangan pada jam 12.40 tengah malam, 9 Jun lalu, empat maut manakala 35 cedera selepas bas yang dilaporkan dalam perjalanan membawa rombongan Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Masjid Tanah, Melaka ke Terengganu untuk menghadiri program penanda aras.

Mangsa yang maut ialah Penolong Kanan SK Jeram, Masjid Tanah Melaka, Hasnatul Adilah Hassan, 48; pemandu kedua bas, Hadi Asyraf Mad Idris, 29; pembantu operasi sekolah, Hamzah Ahmad, 60, dan guru, Dahlia Ahmad, 52.

Bas yang membawa 39 penumpang termasuk dua pemandu terbalik di cerun jalan selepas hilang kawalan dan merempuh sebuah treler yang membawa muatan gelung besi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2024 @ 9:49 PM