PEMAIN Selangor FC Noor Al-Deen Mahmoud Ali meraikan gol selepas berjaya menjaringkan gol kedua dalam saingan Liga Super di antara Selangor FC dan Negeri Sembilan FC di Stadium Bola Sepak Petaling Jaya hari ini. -FOTO Bernama
PEMAIN Selangor FC Noor Al-Deen Mahmoud Ali meraikan gol selepas berjaya menjaringkan gol kedua dalam saingan Liga Super di antara Selangor FC dan Negeri Sembilan FC di Stadium Bola Sepak Petaling Jaya hari ini. -FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kelana Jaya: Selangor FC (SFC) melaungkan amaran bahawa pasukan itu bakal mencabar mahkota kejuaraan Liga Super apabila membelasah Negeri Sembilan 4-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ),sebentar tadi.

Barisan pemain import skuad Gergasi Merah akhirnya menunjukkan taring masing-masing apabila menyumbat gol berkenaan untuk memastikan tiga mata milik SFC.

Babak pertama menyaksikan Selangor FC lebih banyak menguasai perlawanan dengan melancarkan serangan berbahaya bagi mencari gol pembukaan.

SFC hampir berada di depan seawal minit 13 namun apabila sepakan sudut yang diambil Yohandry Orozco hampir menerjah gawang namun sempat ditepis penjaga gol Negeri Sembilan Aqil Abdul Razak.

Selang dua minit kemudian, Ronnie Fernandez pula berpeluang menguji kubu Negeri Sembilan namun sekali lagi ketangkasan Aqil memastikan kubu pasukan pelawat tidak dibolosi.

Skuad kendalian Azzmi Aziz berpeluang untuk memecah kebuntuan gol pada minit 18 menerusi A Selvan namun sepakannya sempat di halang pertahanan SFC.

Memasuki babak kedua menyaksikan SFC menukar taktikal serangan dengan lebih banyak membuat hantaran pendek bagi menembusi benteng lawan.

Gol yang dicari tuan rumah hadir pada minit 57 menerusi Fernandez sebelum Noor Al-Rawabdeh meletakkan SFC di depan dengan jaringan 2-0.

Kubu Negeri Sembilan bocor kali ketiga menerusi Orozco manakala Reziq Bani Hani menyempurnakan malam indah buat SFC untuk kedudukan 4-0.

Walaupun Negeri Sembilan cuba melakukan serangan balas untuk merapat jurang jaringan namun kedudukan 4-0 kekal hingga tamat perlawanan.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan SFC kini berada di tangga keempat Liga Super dengan enam mata manakala berada di kedudukan terakhir tanpa sebarang mata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 10:43 PM