SOUTHGATE bersama penolong pengurus Steve Holland dan Harry Kane pada sesi latihan skuad England. -FOTO Reuters
SOUTHGATE bersama penolong pengurus Steve Holland dan Harry Kane pada sesi latihan skuad England. -FOTO Reuters
AFP

London: Gareth Southgate menggesa pemain England supaya kembali fokus selepas dia menggugurkan Jack Grealish, James Maddison dan Harry Maguire daripada skuad Euro 2024.

Southgate menunjukkan 'sisi kejam' yang jarang dilihat apabila menggugurkan pemain sayap Manchester City, Grealish dan pemain utama Tottenham, Maddison berikutan prestasi hambar mereka pada penghujung musim domestik.

Bos England itu juga tidak menunjukkan sebarang sentimen apabila turut menggugurkan pemain pertahanan Manchester United Maguire, yang menjadi tonggak utamanya tetapi tidak dapat pulih daripada kecederaan betis apabila kejohanan bermula di Jerman.

Southgate sepatutnya menyerahkan senarai skuad 26 pemain pada petang Jumaat sebelum diumumkan secara rasmi pada hari esok.

Tetapi berita mengenai keputusannya menggugurkan Grealish, Maguire, Maddison, Curtis Jones, James Trafford, Jarrad Branthwaite dan Jarell Quansah bocor lebih awal, mendorong Persatuan Bola Sepak mengumumkan skuad itu hari ini.

Southgate kini mahu pemainnya kembali bersatu selepas menempuh hari penuh emosi ketika mereka akan memulakan usaha memenangi trofi utama pertama sejak Piala Dunia 1966.

"Saya tidak mahu membiarkan pemain menunggu sehingga Jumaat. Saya fikir ia akan menjadi huru-hara, sungguh," kata Southgate.

"Ia tidak akan adil kepada pemain yang kami keluarkan, tidak akan adil terhadap pemain yang menunggu untuk mendapat pengesahan bahawa mereka akan menyertainya.

"Ia sesuatu yang tidak dapat dielakkan, kami tahu apabila kami menamakan 33 akan ada tempoh kem persediaan yang bagus dan kemudian akan ada beberapa hari di mana akan terdapat banyak kebimbangan dan persoalan yang sukar untuk kami semua," katanya.

Anak buah Southgate, antara pencabar utama untuk menjulang trofi Euro 2024 akan membuka perlawanan Kumpulan C menentang Serbia pada 16 Jun sebelum berdepan Denmark dan Slovenia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Jun 2024 @ 10:24 AM