MADDISON mempunyai tujuh kap bersama Three Lions.
MADDISON mempunyai tujuh kap bersama Three Lions.
Reuters

London: Pemain tengah James Maddison meluahkan rasa kecewa selepas pengurus England Gareth Southgate menyisihkannya bersama pemain Liverpool Curtis Jones daripada skuad Euro 2024 hari ini.

Beberapa laporan media berkata Jarell Quansah turut antara mereka yang bakal disingkir tetapi tidak disahkan Persatuan Bolasepak (FA).

Southgate perlu menyingkirkan lima lagi pemain untuk melengkapkan had 26 pemain yang ditetapkan Uefa menjelang tarikh akhir esok.

"Sangat kecewa," kata Maddison di media sosial. "Berlatih bersungguh-sungguh dan bekerja keras sepanjang minggu tapi prestasi saya sejak pulih daripada kecederaan mungkin tidak mencapai tahap dikehendaki Southgate.

"Saya fikir ada tempat untuk saya dalam senarai skuad 26 pemain kerana saya berasakan mampu membawa perbezaan dan saya beraksi pada kempen kelayakan untuk Euro 2024 di Jerman," kata Maddison yang mempunyai tujuh kap.

"Tetapi pengurus sudah pun membuat keputusannya dan saya perlu hormatinya. Saya akan kembali, tiada ragu-ragu."

England mempunyai 27 pemain yang berlatih hari ini menjelang aksi pemanas badan terakhir menentang Iceland di Wembley awal pagi Sabtu dengan Lewis Dunk, Harry Maguire dan Luke Shaw menjalani program sendiri ketika mereka masih dalam proses pemulihan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Jun 2024 @ 10:26 PM