SOUTHGATE mahu pemainnya bersih daripada pelanggaran disiplin ketika Euro 2020. FOTO AFP
SOUTHGATE mahu pemainnya bersih daripada pelanggaran disiplin ketika Euro 2020. FOTO AFP
AFP

London: Gareth Southgate memberi amaran kepada skuad England supaya menjaga tingkah laku ketika Euro 2020 selepas beberapa pemainnya terbabit dengan masalah disiplin musim ini.

Pengurus England, Southgate kecewa selepas pertahanan Manchester United, Harry Maguire ditahan polis susulan terbabit pergaduhan ketika bercuti di Greece.

Pemain tengah Manchester City, Phil Foden dan penyerang Manchester United, Mason Greenwood tidak mematuhi protokol koronavirus ketika England berkunjung ke Iceland dan terpaksa dihantar pulang.

Menjelang Euro 2020 yang hanya tinggal dua bulan, Southgate mahu mempersiapkan pasukannya tanpa sebarang drama di luar padang.

"Kami ada isu pada musim luruh. Selalunya ia sangat sukar buat jurulatih menanganinya. Ia benar-benar meletakkan anda dalam posisi sukar,'' kata Southgate.

"Saya hanya boleh bandingkannya dengan Mac di mana kami tiada sebarang insiden sebelum ke kem latihan. Ia suasana yang bagus untuk mempersiapkan pasukan.''

Beberapa pemain England termasuk Jack Grealish, Kyle Walker dan James Maddison terbabit dengan pelanggaran peraturan Covid-19 musim ini.

Southgate yakin jika pasukannya tidak berdepan sebarang masalah di luar padang pada Euro 2020, peluang mereka untuk menjuarai kejuaraan utama pertama sejak Piala Dunia 1966 adalah cerah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 9:04 AM