SOUTHGATE yakin kemampuan Maddison, Maguire, Walker dan Phillips. FOTO EPA
SOUTHGATE yakin kemampuan Maddison, Maguire, Walker dan Phillips. FOTO EPA
AFP

London: Pengurus England, Gareth Southgate memuji James Maddison sebagai antara pemain serangan terbaik dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas tonggak tengah Leicester itu disenaraikan ke dalam skuad Piala Dunia negara berkenaan.

Southgate masih mempercayai kemampuan beberapa pemain yang tidak berada pada prestasi terbaik atau berdepan masalah kecergasan dan sebelum ini terlepas pandang kemampuan Maddison.

Pemain berusia 25 tahun itu hanya sekali mewakili England, pada 2019 dan pernah berdepan kontroversi berada di kasino sehari selepas menarik diri daripada mewakili England kerana alasan masalah kesihatan tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, dia kembali mendapat kepercayaan England, dan hanya Harry Kane sahaja mempunyai rekod gol serta hantaran menghasilkan jaringan lebih daripada Maddison dalam saingan EPL tahun ini.

"Dia berhak mendapat tempat. Kami fikir dia boleh memberi kami sesuatu yang berbeza sedikit daripada pemain serangan lain yang kami ada.

"Saya rasa dia bermain dengan baik sama seperti mana-mana pemain penyerang di negara ini. Kami mempunyai pelbagai jenis pemain dan saya fikir kami mungkin memerlukannya," kata Southgate.

Dua pemain Manchester City, Kyle Walker dan Kalvin Phillips turut disenaraikan walaupun dibimbangi dengan masalah kecergasan.

Southgate mengakui bahawa Walker tidak mungkin cergas untuk perlawanan pembukaan England menentang Iran pada 21 November.

Pemain pertahanan kanan itu dalam usaha untuk pulih dari kecederaan pangkal paha, manakala Phillips hanya bermain 13 minit musim ini sebelum masuk sebagai pemain gantian ketika City menang 2-0 ke atas Chelsea dalam Piala Liga.

"Kami merasakan itu adalah risiko yang patut diambil.

"Dia bebas daripada kecederaan. Kami sedar dia tidak akan dapat bermain 90 minit, kami perlu membina tahap kecergasannya," tambah Southgate mengenai pemilihan Phillips.

Kapten Manchester United, Harry Maguire disenaraikan walaupun digugurkan diketepikan kelabnya.

Penjaga gol: Jordan Pickford (Everton), Nick Pope (Newcastle), Aaron Ramsdale (Arsenal)

Pertahanan: Harry Maguire, Luke Shaw (Manchester United), Eric Dier (Tottenham), John Stones, Kyle Walker (Manchester City), Kieran Trippier (Newcastle), Conor Coady (Everton), Ben White (Arsenal), Trent Alexander-Arnold (Liverpool)

Tengah: Jude Bellingham (Borussia Dortmund/GER), Mason Mount, Conor Gallagher (Chelsea), Declan Rice (West Ham), Jordan Henderson (Liverpool), Kalvin Phillips (Manchester City)

Penyerang: James Maddison (Leicester), Phil Foden, Jack Grealish (Manchester City), Harry Kane (Tottenham), Bukayo Saka (Arsenal), Raheem Sterling (Chelsea), Callum Wilson (Newcastle), Marcus Rashford (Manchester United)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2022 @ 11:03 AM