Kediaman pemain pertahanan Gergasi Merah, Ahmad Khuzaimi Piee(gambar) dipecah masuk, kelmarin.
Kediaman pemain pertahanan Gergasi Merah, Ahmad Khuzaimi Piee(gambar) dipecah masuk, kelmarin.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Selangor FC tidak mahu orang ramai membuat andaian atau spekulasi berkaitan insiden kediaman pemain pertahanan Gergasi Merah, Ahmad Khuzaimi Piee dipecah masuk, kelmarin.

Menerusi kenyataan Selangor FC memaklumkan bahawa kes berkenaan harus diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dengan sebaiknya.

Menurut kelab itu, mereka mengambil maklum berkenaan insiden pecah rumah yang menimpa Khuzaimi dan laporan polis sudah dibuat.

"Insiden itu menyebabkan Khuzaimi mengalami kerugian harta benda, namun dia dan keluarga selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal.

"Pihak kelab kecewa dengan apa yang berlaku dan mengutuk sekeras-kerasnya sebarang bentuk jenayah di dalam negara ini.

"Kami mendoakan keselamatan dan kesejahteraan Khuzaimi dan keluarganya serta diharap pelaku dapat ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan," kata Selangor FC dalam kenyataan itu.

Sebelum itu, Arena Metro melaporkan, Khuzaimi yang pernah menyarung jersi skuad kebangsaan kehilangan sebuah motosikal, empat beg pelbagai jenama dan pasport dalam insiden itu.

Susulan daripada itu, Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata pihaknya akan membantu pemain dan pegawai kelab dalam menjamin keselematan mereka.

"Nasib baik, Khuzaimi tiada di rumah ketika kejadian pecah masuk itu berlaku. Kami akan menyokong dan membantunya dalam apa jua kapasiti yang mampu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 4:07 PM