Bintang Harimau Malaya dan juga tonggak Selangor FC Faisal Halim sudah dibenarkan pulang ke rumahnya selepas lebih dua minggu dirawat di sebuah hospital swasta di Shah Alam.
Bintang Harimau Malaya dan juga tonggak Selangor FC Faisal Halim sudah dibenarkan pulang ke rumahnya selepas lebih dua minggu dirawat di sebuah hospital swasta di Shah Alam.
Syazwan Msar


Shah Alam: Penantian bintang Harimau Malaya Faisal Halim untuk pulang ke rumahnya berakhirnya apabila dia dikhabarkan sudah keluar dari hospital hari ini.

Faisal yang juga tonggak Selangor FC dilaporkan akan menjalani proses pemulihan di kediamannya dalam tempoh beberapa bulan sebelum dibenarkan berlatih bersama skuad Gergasi Merah.

Selepas jalani rawatan selama tiga minggu kerana mengalami lecur tahap empat ekoran disimbah asid oleh individu tidak dikenali, Faisal dikatakan sudah mendapat lampu hijau daripada doktor pakar yang merawatnya.

Sebelum ini, Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC Datuk Seri Shahril Mokhtar, berkata pihaknya akan membantu Faisal mendapatkan keperluan sewajarnya termasuk selepas dibenarkan keluar daripada hospital.

"Kenapa cepat (proses pemulihan), ada dua sebab, doa semua rakyat Malaysia dan juga semangat dia. Keduanya adalah doktor pakar menggunakan teknologi baharu.

"Selepas ini Dr Muhammad Hazwan Khair (Ketua Perubatan Sukan Selangor FC) akan bekerja rapat dengan hospital, ISN (Institut Sukan Negara) dan fisioterapi akan merangka merangka program untuk Faisal," katanya.

Sementara itu, menerusi kenyataan media yang dikeluar Selangor FC mengesahkan pemain berusia 26 tahun itu sudah pun keluar dari hospital selepas menjalani empat pembedahan untuk merawat kecederaan luka lecuran tahap empat.

"Berdasarkan pemerhatian dan rawatan doktor pakar yang bertugas, pemulihan Faisal daripada kecederaan serius ini amat luar biasa dan menjangkaui semua pihak.

"Pihak kelab ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Dr Wan Syazli Rodzaian Wan Ahamad Kamal, Pakar Unit Plastik dan Rekonstruktif, seluruh warga Avisena Specialist Hospital dan Thomson Hospital Kota Damansara yang sentiasa komited dalam memberikan penjagaan komprehensif serta sumbangan besar kepada rawatan serta pemulihan Faisal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 3:21 PM