Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Selangor FC meminta orang ramai menghormati privasi tonggak Harimau Malaya Faisal Halim dengan memberi ruang kepada pemain itu untuk pulih sepenuhnya daripada kecederaan akibat disimbah asid.

Selangor FC menerusi kenyataannya memaklumkan bahawa pemain berusia 26 tahun itu dalam proses rawatan dan pemulihan di kediamannya.

"Faisal kini memasuki fasa seterusnya dalam proses rawatan dan pemulihan. Pihak kelab dan keluarga Faisal meminta supaya memberi ruang dan privasi sebaiknya.

" Mari kita mendoakan kesejahteraan dan kesembuhan sepenuhnya buat Faisal. Semoga Faisal dan keluarga diberikan kekuatan mengharungi waktu sukar ini," katanya.

Sebelum itu media melaporkan Faisal yang juga pemain utama Selangor FC sudah keluar hospital semalam dan akan meneruskan proses pemulihan di kediamannya.

Selepas menjalani rawatan selama tiga minggu kerana mengalami lecur tahap empat ekoran disimbah asid oleh individu tidak dikenali, Faisal dikatakan sudah mendapat lampu hijau daripada doktor pakar yang merawatnya.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar memaklumkan bahawa, Faisal mungkin memerlukan tempoh sehingga enam bulan bagi memastikan dia pulih sepenuhnya.

"Saya difahamkan atas perkembangan semasa, kemungkinan besar 3-6 bulan. Ini apa yang dimaklumkan oleh doktor kepada pihak Selangor.

"Harapan saya kalau boleh lagi cepat lagi bagus. Itu doa saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 2:03 PM