HANNAH percaya Faisal boleh sembuh. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
HANNAH percaya Faisal boleh sembuh. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: "Saya ingin Faisal tahu bahawa dia betul-betul dihargai. Bukan sahaja oleh kerajaan, tetapi juga oleh rakyat Malaysia yang mendoakan dia cepat sembuh."

Demikian reaksi Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ketika ditanya berkenaan keadaan semasa bintang bola sepak Harimau Malaya, Faisal Halim ketika ini yang menjadi mangsa disimbah asid oleh dua individu yang tidak dikenali pada Ahad lalu.

Bagi Hannah, beliau akan menunggu masa yang sesuai untuk pergi melawat pemain Selangor FC itu selepas mendapat nasihat daripada doktor yang merawatnya.

Jelasnya lagi, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan bekerjasama untuk memberikan sokongan penuh kepada pemain Selangor FC itu dalam apa jua dan akan berusaha sebaik mungkin untuk membantu Faisal kembali semula bermain.

"Untuk Faisal, saya ingin pastikan dia fokus dulu rawatan, jangan terlalu fikir masih boleh main lagi ke bola sepak, bila pertandingan seterusnya. Saya ingin Faisal tahu bahawa dia betul-betul dihargai. Bukan sahaja oleh kerajaan, tetapi juga oleh rakyat Malaysia yang mendoakan dia cepat sembuh.

"Saya percaya kita akan bergabung tenaga dengan FAM dan KBS untuk pastikan Faisal dapat rawatan yang secukupnya untuk pulih. Itu sebab, kalau kecederaan hari ini tidak bermaksud esok dia tidak boleh main. Kita akan fokus kepada pemulihan. Saya percaya kalau kita ada semua tenaga pakar untuk membantu beliau, saya percaya beliau boleh sembuh.

"Saya ada baca berita hari ini (mengenai perkembangan terkini Faisal) selepas pembedahan, saya ingin berjumpa tetapi saya nak dengar nasihat doktor dulu. Kalau doktor kata biarkan Faisal berehat dan biar mereka jalankan tugas mereka, Saya rasa kita hormati perkara itu," kata Hannah.

Melalui maklumat terkini, kondisi kesihatan tonggak Harimau Malaya Faisal Halim semakin membimbangkan apabila dikatakan berada dalam keadaan kritikal selepas menjalani pembedahan di sebuah hospital swasta, di sini, semalam.

Situasi terbabit disahkan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Datuk Seri Shahril Mokhtar yang memaklumkan keadaan Faisal boleh dikatakan semakin membimbangkan kesan daripada kelecuran tahap empat.

Terdahulu, hasil maklumat terkini yang Arena Metro dapat, suspek dipercayai guna asid sulfurik pekat hingga menyebabkan beberapa anggota badan termasuk mukanya melecur tahap empat.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon ketika melawat Faisal di hospital swasta, di Shah Alam, sebentar tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2024 @ 2:59 PM