FAISAL dijangka dibenarkan keluar dari hospital dalam masa terdekat. FOTO FB FAISAL HALIM.
FAISAL dijangka dibenarkan keluar dari hospital dalam masa terdekat. FOTO FB FAISAL HALIM.
Syazwan Msar


Shah Alam: Tonggak Harimau Malaya Faisal Halim tidak boleh bergerak bebas dengan ketika ini terpaksa berbaring di atas katil susulan pembedahan keempat membabitkan 'split skin graft' (SSG) yang dijalankan pada Isnin lalu.

Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, tahap kesihatannya menunjukkan semakin positif namun pergerakan Faisal terbatas berikutan kulit di pahanya diambil untuk prosedur itu.

Beliau berkata, ketika ini Faisal 'terlantar' di katilnya dan hanya menjalani latihan ringan sambil dipantau rapi oleh doktor pakar.

"Tahap kesihatannya semakin baik cuma sekarang ini dia lebih banyak baring di atas katil dan tidak boleh terlalu aktif kesan daripada pengambilan kulitnya di paha untuk prosedur SSG.

"Jika dilihat secara keseluruhannya, bukanlah mudah untuk seseorang yang terkena asid untuk pulih dengan cepat namun Faisal menunjukkan perkembangan positif setakat ini," katanya, ketika ditemui di perkarangan hospital swasta, semalam.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey mungkin dibenarkan pulang ke rumah selepas beberapa hari menjalani pembedahan keempat.

Shahril yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC memaklumkan pembedahan yang berlangsung selama enam jam itu menunjukkan perkembangan positif terhadap luka melecur yang dialaminya.

Sementara itu, Shahril berkata, Faisal kemungkinan dibenarkan pulang ke rumahnya hari ini atau esok namun bergantung kepada perkembangan terkini termasuklah keadaan luka pemain itu.

"Semuanya bergantung kepada apa yang akan diputuskan oleh doktor pakar. Sekarang ini, kita beri ruang kepada Faisal untuk pulih sepenuhnya daripada luka akibat simbahan asid itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 10:36 AM