FAISAL bersama keluarga hadir memberi sokongan moral kepada Selangor FC ketika menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Bola Sepak Petaling Jaya hari ini. FOTO Bernama
FAISAL bersama keluarga hadir memberi sokongan moral kepada Selangor FC ketika menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Bola Sepak Petaling Jaya hari ini. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kelana Jaya: Selepas tempoh sebulan menjalani rawatan akhirnya pertama kali bintang Selangor FC Faisal Halim buat kemunculan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.

Faisal atau lebih mesra dengan panggilan Mickey hadir bersama ahli keluarganya untuk menyaksikan perlawanan Piala FA membabitkan Selangor FC menentang Negeri Sembilan.

Pemain terbabit yang memakai jersi Selangor ternyata teruja dan gembira dapat menyaksikan perlawanan membabitkan pasukannya secara langsung selepas lebih sebulan 'disembunyikan' berikutan menjadi mangsa simbahan asid di sebuah pusat membeli belah di Petaling Jaya, awal bulan lalu.

Sebelum itu, buat kali pertama pemain berusia 26 tahun itu membuat kemunculan di khalayak ramai pada Khamis dengan mengadakan sidang media bagi menjelaskan perkembangan lanjut berkaitan tahap kesihatannya.

Mengikut rekod, Faisal menjadi mangsa simbahan asid oleh individu tidak dikenali pada 5 Mei lalu menyebabkan dia mengalami kelecuran tahap empat.

Dia berada dalam keadaan kritikal selepas insiden itu dan terpaksa mengharungi empat pembedahan untuk merawat luka lecuran di sebuah hospital swasta di Shah Alam.

Kecederaan dialami Faisal yang juga tonggak Harimau Malaya menyebabkan dia terpaksa menjalani empat pembedahan sebelum dibenarkan keluar hospital.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 7:09 PM