FAISAL dijangka dibenarkan keluar dari hospital dalam masa terdekat. FOTO FB FAISAL HALIM
FAISAL dijangka dibenarkan keluar dari hospital dalam masa terdekat. FOTO FB FAISAL HALIM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pergerakan tonggak Selangor FC (SFC), Faisal Halim tidak lagi seperti biasa selepas ini apabila pemain terbabit akan dikawal ketat sebaik dibenarkan keluar dari hospital.

Situasi terbabit menyaksikan Faisal atau lebih mesra dengan panggilan Mickey tidak akan mudah didekati individu lain bagi memastikan keselamatannya berada tahap optimum susulan kes disimbah asid pada 5 Mei lalu.

Ahli Lembaga Pengarah SFC, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, tindakan terbabit sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan pemain itu lebih bersedia bagi mengharungi kejadian terbabit.

"Sekarang masih ada 'security' di rumah, di hospital. Kita masih akan menyediakan kawalan keselamatan sehingga sampai masa dan ketika Faisal merasakan dia tenang dan OK.

"Selepas itu, kita akan bincang dengan keluarga Faisal mengenai perkara ini," katanya.

Sebelum ini, Faisal menjadi mangsa simbahan asid oleh individu tidak dikenali pada 5 Mei lalu menyebabkan dia mengalami kelecuran tahap empat.

Dia berada dalam keadaan kritikal selepas insiden itu dan terpaksa mengharungi empat pembedahan untuk merawat luka lecuran di sebuah hospital swasta di Shah Alam.

Terbaharu, Faisal sudah selesai menjalani pembedahan keempat selama enam jam Isnin lalu yang menyebabkan pergerakan pemain itu sedikit terbatas.

Faisal berjaya mengharungi pembedahan dipanggil 'split skin grafting' (SSG) itu, sekali gus memberi bayangan pemain itu akan keluar dari hospital dalam tempoh terdekat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 11:57 AM