DATUK Seri Shahril Mokhtar (tengah) pada sidang media hari ini. FOTO BERNAMA
DATUK Seri Shahril Mokhtar (tengah) pada sidang media hari ini. FOTO BERNAMA
Firdaus Hashim


Shah Alam: Pembedahan selama enam jam terpaksa diharungi bintang bola sepak negara dan Selangor FC, Faisal Halim dalam pembedahan keempat Isnin lalu yang menyebabkan pergerakan pemain itu sedikit terbatas.

Perkembangan itu dikongsikan Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar selepas Faisal berjaya mengharungi pembedahan terakhir yang dipanggil 'split skin grafting' (SSG) itu.

Katanya, beberapa bahagian kulit terutama di perut dan paha Faisal diambil bagi menutup kawasan luka akibat simbahan asid sebelum ini.

Jelasnya, prosedur berkenaan berjaya di mana hampir 100 peratus kawasan luka dapat ditutupi sekali gus Faisal dijangka dapat pulih dalam tempoh terdekat ini.

"Sangat baik, sangat bagus. Saya difahamkan biasanya kalau buat SSG ini dalam 70 peratus dapat 'cover' kawasan (luka), itu pun dah cukup bagus.

"Tapi ia keajaiban untuk Mickey (Faisal Halim) ini dapat 100 peratus daripada kulit yang doktor ambik. Ia dapat 'cover' seluruh tempat-tempat yang cedera.

"Bila dapat 'cover' keseluruhan, ia nampak cantik. InsyaAllah saya yakin dalam masa beberapa hari ini Faisal boleh keluar dari hospital," katanya ketika ditemui di lobi hospital swasta di sini, hari ini.

Ujarnya lagi, kejayaan pembedahan Faisal ini adalah hasil doa seluruh rakyat Malaysia.

"Kenapa cepat, kenapa sangat positif (perkambangan Faisal Halim), ada dua sebab yang saya lihat. Yang pertama doa semua rakyat Malaysia di luar sana banyak membantu Faisal Halim sendiri dan semangat dia.

"Yang kedua doktor pakar menggunakan teknologi-teknologi baharu termasuk gunakan SSG ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2024 @ 5:19 PM