PEMAIN Sabah FC, Taiki Kagayama (kanan) cuba menghalang pemain KL City FC, Giancarlo Gallifuoco. FOTO Mohd Adam Arinin
PEMAIN Sabah FC, Taiki Kagayama (kanan) cuba menghalang pemain KL City FC, Giancarlo Gallifuoco. FOTO Mohd Adam Arinin
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Sabah FC bernasib baik apabila berjaya mengikat Kuala Lumpur (KL) City FC 2-2 walaupun dua kali ketinggalan pada aksi Liga Super di Stadium Likas, malam ini.

Kelalaian benteng pasukan tuan rumah menyebabkan pasukan lawan mendapat kelebihan sehingga berjaya mendahului 1-0 pada separuh masa pertama.

Gol pertama KL City menerusi pemain importnya, Giancarlo Gallifuoca pada minit kelima yang menanduk masuk sepakan percuma kapten mereka, Paulo Jouse.

Selepas dikejutkan dengan jaringan itu, Sabah mula mengatur serangan dan berjaya mencipta beberapa peluang, namun dipatahkan penjaga gol lawan, Kevin Mendoza.

Sabah meningkatkan serangan bermula pada minit ke-12 apabila pemain import dari Jepun, Taiki Kagayama melakukan cubaan dengan tandukan, namun agak lemah dan mudah dihalang oleh Mendoza.

Peluang seterusnya menyusul melalui dua sepakan sudut pada minit ke-23 dan ke-24 sebelum disusuli sepakan percuma dari luar sebelah kanan kotak penalti KL City pada minit ke-25, namun masih gagal menewaskan penjaga gol lawan.

Memasuki babak kedua perlawanan, rentak permainan sedikit berubah dengan persembahan lebih agresif skuad Sang Badak dalam usaha mencari gol penyamaan.

Sabah akhirnya berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-47, menerusi peluang dimanfaatkan Dominic Tan yang melakukan cubaan selepas bola terlepas daripada hadangan penjaga gol KL City.

Bagaimanapun, Sabah sekali lagi dikecewakan apabila KL City berjaya menambah gol kedua menerusi Akram Mahinan pada minit ke-60 sekali gus mengubah kedudukan dengan KL City mendahului 2-1.

Namun, skuad Sang Badak tetap meneruskan usaha menyamakan kedudukan sehingga akhirnya berjaya pada minit ke-85 menerusi sepakan percuma Saddil Ramdani.

Dengan kedudukan kembali terikat 2-2 ketika permainan sudah di hujung perlawanan, kedua-dua pasukan berusaha mencari peluang untuk mencipta gol kemenangan namun gagal, menyebabkan masing-masing terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 September 2022 @ 10:40 PM