PEMAIN Sabah FC, Ramon Machado (tengah) diasak pemain pertahanan Kuching City FC, Yuki Tanigawa dalam saingan Liga Super di Stadium Likas malam ini. -FOTO Mohd Adam Arinin
PEMAIN Sabah FC, Ramon Machado (tengah) diasak pemain pertahanan Kuching City FC, Yuki Tanigawa dalam saingan Liga Super di Stadium Likas malam ini. -FOTO Mohd Adam Arinin
Oleh Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Pemain gantian Sabah FC, Jafri Chew memastikan Sabah memenangi perlawanan menentang Kuching City FC 2-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, malam ini.

Jafri yang menggantikan Darren Lok pada minit ke-77 menghadiahkan jaringan kedua buat Sabah pada minit ke-84 dan kedudukan 2-1 itu kekal sehingga minit akhir perlawanan termasuk tambahan masa selama sembilan minit.

Penyerang berasal dari Pulau Pinang itu berjaya menyudahkan sepakan dengan baik selepas menerima hantaran Saddil Ramdani dalam situasi kucar kacir di hadapan gawang Kuching City.

Sebelum itu, Darren menyamakan kedudukan 1-1 selepas menyudahkan sepakan penalti yang diberikan kepada Sang Badak dengan tepat pada minit ke- 75.

Sabah diberikan sepakan penalti selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) mengesahkan pemain pertahanannya, Kwang Ming Ko dijatuhkan pemain lawan di kawasan kotak penalti Kuching City.

Sebelum itu, Kuching meraikan gol pertama perlawanan selepas penyerangnya Pedro Henrique berjaya memperdaya Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-63.

Gol berkenaan meletakkan pasukan pelawat di hadapan dengan 1-0, namun kedudukan itu hanya bertahan kira-kira 12 minit sebelum Sabah berjaya mendapat gol penyamaan melalui sepakan penalti.

Selepas kecewa dengan gol penalti Sabah, Kuching City berjaya melakukan satu lagi jaringan pada minit ke-79 menerusi penyerangnya, Tchetche Hermann, namun semakan VAR mendapati beliau berada pada kedudukan offsaid.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 11:34 PM