PALMER (dua dari kanan) menanduk masuk gol kedua peribadi dan Chelsea ketika membelasah Everton 6-0, awal pagi tadi. FOTO REUTERS
PALMER (dua dari kanan) menanduk masuk gol kedua peribadi dan Chelsea ketika membelasah Everton 6-0, awal pagi tadi. FOTO REUTERS
AFP

London: Cole Palmer menjaringkan empat gol yang membantu Chelsea menghampiri kelompok enam teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas membelasah Everton 6-0, awal pagi tadi.

Pemain antarabangsa England itu terus menyinar pada kempen mengecewakan bagi the Blues dan menyamai pencapaian 20 gol EPL dengan penyerang Manchester City, Erling Haaland dalam perebutan Kasut Emas.

Palmer memusnahkan Everton apabila dia melengkapkan hatrik dalam tempoh 30 minit sebelum Nicolas Jackson menjaringkan gol keempat sebelum rehat.

Bagaimanapun, drama tetap berlaku apabila Palmer berebut dengan rakan sepasukannya, Jackson dan Noni Madueke untuk menjaringkan gol keempat menerusi sepakan penalti pada minit ke-64.

"Kami tidak boleh bersikap seperti ini. Saya beritahu mereka, ini kali terakhir saya boleh terima sikap seperti ini," kata Mario Pochettino selepas kemenangan terbesar sebagai bos Chelsea.

Sekalipun lapan perlawanan tanpa kalah di EPL, Chelsea kekal di tempat kesembilan, tetapi hanya ketinggalan tiga mata di belakang Newcastle yang menduduki tempat keenam dan memiliki kelebihan satu perlawanan.

Mereka akan berdepan juara bertahan, City di separuh akhir Piala FA, Sabtu ini dengan keyakinan untuk menghalang mereka merangkul treble kali kedua.

"Perkara terpenting sekarang adalah membina pasukan yang konsisten," kata Pochettino.

"Kami belum cukup konsisten. Kami perlu belajar dan terus belajar dengan cepat."

Kekalahan besar itu menyaksikan Everton hanya dua mata di atas zon penyingkiran.

Nottingham Forest akan berkunjung ke Goodison Park pada Ahad dan anak buah Sean Dyche perlu meningkatkan permainan untuk terus kekal di liga utama dalam tempoh 70 tahun.

"Ini adalah detik sangat memalukan yang saya rasa sebagai individu dan sebahagian pasukan dalam karier saya sebagai pemain bola sepak," kata bek tengah Everton, James Tarkowski.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 6:55 AM