PALMER  (tengah) meraikan jaringan keempat Chelsea. FOTO AFP
PALMER (tengah) meraikan jaringan keempat Chelsea. FOTO AFP
AFP

London: Cole Palmer menjaringkan dua gol pada minit akhir masa kecederaan bagi melengkapkan hatriknya ketika Chelsea menewaskan Manchester United 4-3 yang meleburkan harapan Red Devils untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

Skuad Erik ten Hag hampir mencapai kemenangan penting selepas mereka bangkit daripada ketinggalan 0-2 dan mendahului 3-2 dalam aksi menyaksikan 47 percubaan dilakukan kedua-dua pasukan.

Tetapi Palmer menyamakan kedudukan menerusi penalti pada minit ke-100 dan kemudiannya menjadi pemusnah United beberapa saat kemudian yang menamatkan aksi dramatik di Stamford Bridge.

United mendahului sehingga minit ke-99 dan 17 saat sekali gus pasukan terbaru di Liga Perdana Inggeris (EPL) yang tewas selepas mendahului lawan.

Kekalahan memeritkan itu meletakkan United di tangga keenam, 11 mata di belakang Aston Villa yang menduduki tangga keempat ketika berbaki lapan perlawanan dan boleh melupakan saingan liga elit Eropah musim depan.

Skuad Mauricio Pochettino melonjak ke tangga ke-10 dalam carta liga dan memastikan mereka terus memburu tiket ke Eropah selepas berdepan musim tidak konsisten.

Jurulatih dari Argentina itu pada musim pertamanya di Stamford Bridge memuji Palmer, 21, yang kekal cemerlang sejak menyertai Chelsea pada September.

REAKSI kecewa pemain United.
REAKSI kecewa pemain United.

"Impak yang menakjubkan," katanya kepada BBC. "Dia melakukan tugas dengan fantastik. Hari ini dia menunjukkan kualiti dan mentalitinya. Saya kata Cole, dua minit lagi dan perlu percaya."

Chelsea sebelum ini tidak pernah menewaskan United dalam 12 aksi EPL tetapi mereka di depan seawal minit keempat hasil jaringan kapten Conor Gallagher.

Palmer menggandakan kelebihan untuk skuad tuan rumah menerusi penalti minit ke-19 selepas Anthony mengasari Marc Cucurella tetapi United merapatkan kedudukan minit ke-34 selepas kesilapan Moises Caicedo membolehkan Alejandro Garnacho menjaringkan gol.

Lima minit kemudian kedudukan terikat 2-2 selepas hantaran Diogo Dalot di tanduk Bruno Fernandes dan United pula mendahului minit ke-67 menerusi Garnacho.

Pelawat tampak meraih tiga mata tetapi pegawai perlawanan memberi isyarat tambahan masa lapan minit dan Chelsea kembali di depan selepas mendapat penalti susulan kekasaran Dalot ke atas Noni Madueke.

Namun drama itu belum berakhir apabila United terperangkap selepas sepakan sudut pantas Enzo Fernandez menuju Palmer yang meledak rembatan terkena Scott McTominay sebelum melepasi penjaga gol Andre Onana untuk kemenangan berharga Chelsea.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2024 @ 8:14 AM