AKSI antara Chelsea dan Luton sebentar tadi. FOTO AFP
AKSI antara Chelsea dan Luton sebentar tadi. FOTO AFP
Reuters

Luton: Chelsea terselamat daripada kebangkitan yang cuba dilakukan Luton Town pada lewat perlawanan kembali mencatat kemenangan selepas menang 3-2 di Kenilworth Road, dengan Cole Palmer menjaringkan gol di setiap separuh masa dan satu lagi terhasil melalui Noni Madueke.

The Blues tewas empat perlawanan Liga Perdana Inggeris di tempat lawan sebelum ini tetapi kelihatan pasti untuk meraih tiga mata apabila mereka mendahului 3-0 sehingga aksi berbaki 10 minit.

Palmer meletakkan The Blues di depan pada minit ke-12 selepas mengambil kesempatan di atas kesilapan pertahanan Luton, Issa Kabore.

Luton sekali lagi dihukum apabila Palmer melakukan hantaran kepada Madueke yang mempunyai ruang untuk melepaskan rembatan.

Madueke membalas semula jasa apabila melorongkan bola kepada Palmer yang tenang untuk meledak gol ketiga pada minit ke-70.

Bekas pemain tengah Chelsea, Ross Barkley berjaya menjaringkan gol kebangkitan buat tuan rumah apabila menanduk masuk sepakan sudut Alfie Doughty pada minit ke-80.

Tujuh minit kemudian Elijah Adebayo mengurangkan defisit kepada satu gol namun Luton gagal untuk menyamakan kedudukan.

Kemenangan Chelsea menyaksikan mereka di tangga ke-10, manakala Luton kekal di zon penyingkiran di tempat ke-18.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Disember 2023 @ 11:13 PM