GOL Paulo Josue dibatalkan pengadil perlawanan ketika bertemu Oman. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
GOL Paulo Josue dibatalkan pengadil perlawanan ketika bertemu Oman. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Gol penyamaan skuad Harimau Malaya pada minit ke-80 seharusnya diberikan sekali gus keputusan penolong pengadil yang mendakwa ofsaid adalah salah.

Perkara itu dikongsikan seorang pengadil berpengalaman luas yang enggan namanya disiarkan apabila mengakui keputusan penolong pengadil dan pengadil perlawanan adalah silap sehingga menyaksikan Malaysia tumbang 0-2 di tangan Oman dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, di Muscat kelmarin.

Katanya, kedudukan penyerang Harimau Malaya, Paulo Josue ketika itu jauh daripada pertahanan lawan yang memiliki masa, ruang dan jarak secukupnya untuk mengawal bola tanpa adanya halangan pemain negara.

"Penyerang tidak menghalang tindakan atau pergerakan pemain pertahanan untuk bermain bola. Kedudukan (penyerang Malaysia) agak jauh dan dilihat tidak membuat isyarat untuk mencabar atau menghalang pihak lawan daripada bermain bola.

"Begitupun, pemain pertahanan (pemain Oman) mempunyai kelebihan kerana dapat memerhati pergerakan arah bola. Dia juga mempunyai masa, ruang, dan jarak yang cukup untuk menjangka pergerakannya.

"Ini membolehkan dia meramalkan laluan bola dengan tepat, terutamanya apabila bergolek di atas tanah. Ini adalah faktor utama kerana dia berada dalam situasi mengawal bola dan boleh bermain.

"Tetapi pemain pertahanan gagal mengawal bola dengan betul kerana kurang kemahiran. Oleh itu gol itu harus dikira kerana ia berpunca kesilapan pertahanan," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Pandangan itu turut diakui jurulatih berpengalaman tempatan, Sulaiman Hussin yang menggangap ia adalah jaringan.

Jelasnya, jika gol itu dikira sudah pasti keputusan perlawanan boleh berubah dan tidak mustahil mata mampu di bawa pulang.

"Betul kalau ikut peraturan terkini bila ada sentuhan daripada pihak lawan walaupun pemain itu berada dalam keadaan ofsaid awalnya, automatik 'game' itu 'on' sebenarnya.

"Sepatutnya jaringan itu dibenarkan. Cuma kita tak tahu dari sudut mana pengadil itu membuat keputusan dan penjaga garisan mengangkat bendera.

"Dan apa komunikasi antara mereka berdua pun kita tak tahu. Kalau ikut peraturan sepatutnya gol itu dibenarkanlah," kata jurulatih dan bekas pemain itu.

Susulan kekalahan itu, skuad Harimau Malaya tiada pilihan lain dan wajib melakar kemenangan ke atas lawan sama apabila kedua-dua pasukan bertemu sekali lagi di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini.

Jika mampu memungut tiga mata penuh, peluang pasukan untuk melepasi pusingan kedua kembali cerah dengan baki dua aksi menentang Taiwan dan Kyrgyzstan sebagai taruhan terakhir pada Jun nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2024 @ 6:49 PM