Kuala Lumpur: Kekecohan yang berlaku selepas separuh akhir kedua Piala FA antara Terengganu dengan LionsXII mencetuskan insiden memalukan arena bola sepak negara.

Bukan sedikit pihak berpendapat pengadil Mohd Amirul Izwan Yaacob silap kerana membatalkan jaringan Terengganu ketika masa kecederaan perlawanan itu, tetapi bekas pengadil Piala Dunia 2010 Afrika Selatan Subkhiddin Mohd Salleh menganggap keputusan dibuat pegawai perlawanan itu terbaik.

Subkhiddin berkata, insiden itu mengingatkannya kepada situasi hampir sama ketika perlawanan pembukaan Piala Dunia 2010 antara Afrika Selatan dan Mexico apabila sepakan penjuru yang diambil dan jaringan dilakukan dibatalkan kerana peraturan ofsaid.

Katanya, peminat perlu merujuk kepada maksud tersurat dalam Undang-Undang 11: Ofsaid.

“Seorang pemain berada pada posisi ofsaid jika dia lebih hampir dengan garisan gol lawan iaitu di belakang pemain lawan. Pemain akan dihukum jika dia menyentuh bola.

“Kedudukan dan tindakan pemain yang berkedudukan ofsaid saling berkait sebelum pengadil memutuskan untuk menghukum pemain terbabit,” katanya.

Merujuk kepada situasi yang berlaku dalam perlawanan di Kuala Terengganu itu, Subkhiddin berkata, ia boleh ditafsirkan seperti pemain penyerang berada lebih hampir dengan garisan gol lawan.

Justeru, katanya, pemain Terengganu yang menjaringkan gol itu boleh dirujuk sebagai berada dalam kedudukan ofsaid selain menyentuh bola yang dihantar rakannya.

“Dalam situasi ini, pemain yang menyarung jersi 18 Terengganu menanduk bola dan perlu dihukum. Dalam konteks ini, pemain lawan kedua terakhir merujuk kepada mana-mana pemain lawan yang berada pada kedudukan kedua terakhir daripada garisan gol.

“Pemain itu boleh jadi pemain lawan atau mana-mana pemain pertahanan atau penjaga gol.

“Penjaga gol juga ada ketikanya bertindak sebagai penyerang, mengambil sepakan penalti dan boleh juga kelihatan pada masa tertentu membuat lontaran ke dalam, malah tidak mustahil untuk seseorang penjaga gol membuat sepak mula,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2015 @ 7:34 AM