DI Liga Perdana Inggeris (EPL), keputusan pengadil dan semakan VAR turut kerap dikecam serta dipertikaikan. FOTO AFP
DI Liga Perdana Inggeris (EPL), keputusan pengadil dan semakan VAR turut kerap dikecam serta dipertikaikan. FOTO AFP
Saipul Adli Mohamad

Bola tu gol kan Abi," kata anak lelaki saya, Rayyan Iman ketika kami beberapa kali melihat ulang tayang perlawanan Malaysia dan India pada saingan Pestabola Merdeka 2023, pertengahan Oktober lalu di kaca televisyen.

Malam sebelumnya, buat kali pertama, saya membawanya ke Stadium Nasional, Bukit Jalil (SNBJ) untuk menyaksikan skuad Harimau Malaya berentap.

Gembiranya bukan kepalang, bukan saja kali pertama merasai suasana perlawanan bola sepak di SNBJ, malah Malaysia menang 4-2 sehingga hilang rasa penat bersesak di dalam transit aliran ringan (LRT) pergi dan balik dari Stesen Bandar Tun Razak ke Bukit Jalil.

Tapi, jaringan gol India yang tidak dikira ketika Malaysia mendahului 3-2 menarik perhatian sehingga aksi dihentikan seketika.

Keputusan itu agak kontroversi namun malangnya tiada video bantuan pengadil (VAR) atau teknologi garisan gol untuk menjernihkan situasi itu.

Ketika di SNBJ, kami tidak nampak jelas kedudukan bola. Jadi di rumah keesokannya, kami tonton ulang tayang dan bola dilihat sudah melepasi garisan gol menyebabkan pemain India merayu serta membantah keputusan pengadil yang membatalkan jaringan itu.

Apapun, pada akhirnya, tahniah kepada pemain Harimau Malaya yang menyumbat gol keempat untuk kemenangan mutlak 4-2.

Jelas, teknologi VAR sangat perlu untuk membantu pengadil membuat keputusan tepat dan segera, apatah lagi dalam perlawanan berintensiti tinggi.

Pada 8 Disember lalu, berlangsung final Piala Malaysia antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) di padang SNBJ yang terluka dan rosak teruk akibat penganjuran konsert antarabangsa.

Sekali lagi, VAR diperlukan apabila beberapa keputusan pengadil, S Logeswaran dikatakan perlu disemak semula pada final yang menyaksikan tiga sepakan penalti dihadiahkan dan JDT menang 3-1.

Bagi meredakan isu mutu pengadilan, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam berkata, VAR sepatutnya digunakan sebaik aksi Liga Super bermula pada April tahun depan.

Beliau berkata, MFL berharap dapat menggunakan VAR di semua perlawanan Liga Super dan pengadil mendapat sijil VAR daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).

Katanya, MFL mengadakan bengkel untuk jurulatih dan pemain serta berkongsi maklumat kepada media berkaitan penggunaan VAR dan perkara penting adalah pengetahuan mengenai VAR kerana tidak mahu inisiatif itu terhenti begitu saja.

Kos permulaan pemasangan sistem VAR bukan murah apabila menelan belanja RM9.7 juta untuk musim 2024, yang membabitkan pembelian barangan keperluan seperti kamera, jaringan internet selain penyediaan infrastruktur lengkap. Kemudian MFL perlu mengeluarkan perbelanjaan RM3.2 juta pada tahun berikutnya untuk memastikan teknologi itu dapat terus digunakan.

Difahamkan, MFL akan bermula dengan 'pakej standard' iaitu enam kamera terlebih dahulu bagi teknologi VAR untuk musim depan, walaupun Fifa menggunakan sehingga 42 kamera.

Di pihak peminat serta penyokong, VAR amat dinanti dan diharapkan mampu membantu pengadil membuat keputusan segera, tepat dan adil.

Namun, tidak semua keputusan VAR itu sempurna dan diterima. September lalu, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kesal terhadap pengadil dan menulis di media sosial: "VAR hanya bagus untuk orang yang bijak menggunakan VAR, tak guna bagi VAR kepada orang tak tahu pakai VAR. Ibarat beri kereta kepada monyet."

Ia selepas kekalahan tipis 0-1 dialami JDT kepada Kawasaki Frontale pada aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan pengadil dikatakan tidak memanfaatkan teknologi VAR sebaik-baiknya.

Meskipun terdapat permintaan daripada pemain JDT agar pengadil merujuk kepada VAR, ia tidak dilayan hingga mengakibatkan JDT terlepas beberapa peluang menjaringkan gol.

Di Liga Perdana Inggeris (EPL), keputusan pengadil dan semakan VAR turut kerap dikecam serta dipertikaikan.

Kesilapan paling besar adalah ketika Tottenham Hotspur menang 2-1 ke atas Liverpool pada 1 Oktober lalu apabila pengadil serta pegawai VAR membatalkan gol pemain Liverpool, Luis Diaz walaupun dia tidak berada dalam kedudukan ofsaid.

Menambah parah lagi apabila dua kad merah dilayangkan kepada pemain Liverpool yang akhirnya beraksi dengan sembilan pemain.

Badan pengadil profesional iaitu Professional Game Match Officials Limited (PGMOL) mengakui ia adalah kesilapan manusia yang ketara apabila pegawai VAR gagal memberitahu pengadil, Simon Hooper supaya mengubah keputusan membatalkan jaringan Diaz itu.

Kecoh bila pengurusan Liverpool meminta perlawanan diadakan semula namun tidak dilayan Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris.

Banyak pasukan lain turut dikecewakan VAR dan hampir setiap minggu, ada saja keputusan kontroversi di EPL.

Kebaikan VAR adalah semua orang boleh tengok semula sesuatu yang disemak, tetapi kesilapan pengadil membuat keputusan tetap berlaku kerana teknologi itu masih dikawal manusia.

Banyak situasi hampir sama seperti bola kena tangan, ofsaid dan kekasaran, tapi keputusan pengadil tak sama dan tidak konsisten.

Harus diingat, walaupun bola sepak mampu menyatukan dunia, ia bukan medan mencari keadilan dan kesaksamaan. Bukan!

Bukan mudah memuaskan hati penyokong terutama pasukan kalah. Harus ada kambing hitam daripada setiap keputusan tidak disukai dan biasanya ia adalah pengadil. Justeru, ilmu dan kemahiran pengadil sangat penting.

Penulis Pengarang Berita, Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2023 @ 7:00 AM