Kim Swee. FOTO Osman Adnan
Kim Swee. FOTO Osman Adnan
Aziman Rosdi


Yangon: Selepas hampir dimalukan Kemboja pada aksi pertama Kumpulan B Piala AFF 2016 di Stadium Thuwunna semalam, jurulatih Harimau Malaysia Datuk Ong Kim Swee mengingatkan anak buahnya supaya bermain mengikut bunyi wisel pengadil.

Ini susulan gol kontroversi Kemboja pada minit ke-8 yang menyaksikan pemain pertahanan negara menghentikan permainan kerana menyangka Chan Vathanaka dalam kedudukan ofsaid selepas penjaga garisan mengibarkan bendera sedangkan pengadil dari Oman Abdul Baqi Yaqoob Said Abdullah mahu perlawanan diteruskan.

Abdul Baqi mendakwa Vathanaka tidak ofsaid kerana menerima bola daripada pemain Malaysia.

Kim Swee berkata, meskipun gol itu tidak memberi kesan kerana mereka berjaya mencipta kebangkitan menerusi kemenangan 3-2 namun beliau mahu anak buahnya belajar daripada kesilapan itu.

"Ini pengalaman dan pengajaran buat pemain supaya bermain mengikut tiupan wisel pengadil dan bukannya bendera.

"Permainan belum 100 peratus sempurna jadi kami perlu meningkatkan prestasi dalam perlawanan seterusnya," katanya.

Harimau Malaysia akan meneruskan cabaran Kumpulan B dengan menentang Vietnam Rabu ini sebelum membuat perhitungan terakhir bersama tuan rumah Myanmar pada Sabtu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2016 @ 1:25 PM