SAFAWI  Rasid diasak dua pemain Singapura. FOTO FAM
SAFAWI Rasid diasak dua pemain Singapura. FOTO FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kehebatan dan kelincahan tonggak Singapura Ikhsan Fandi yang 'mempermainkan' tiga pemain Harimau Malaya sebelum menyumbat gol kemenangan pada aksi persahabatan terakhir Siri Tiga Negara di Stadium Nasional, Singapura, Ahad lalu mengundang perdebatan dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air.

Dua jaringan anak legenda Singapura Fandi Ahmad itu mencetuskan persoalan siapa yang bersalah hingga menyaksikan skuad negara tewas 1-2.

Melihat kepada perlawanan terbabit menyaksikan pasukan negara terlalu 'sibuk' melakukan serangan namun tiada sebarang hasil.

Sebaliknya, Singapura hanya sekali sekala cuba mengetuk gawang Harimau Malaya sebelum diterjemahkan menerusi jaringan gol. Berdasarkan situasi berkenaan, rata-rata penyokong menyalahkan pertahanan tengah dan kapten, Aidil Zafuan yang gagal membendung asakan penyerang lawan.

Pada perlawanan menentang Singapura, Aidil yang juga pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT) menggantikan Khuzaimi Piee yang menyerlah dalam aksi pertama berdepan Filipina.

Kedua-dua gol Ikhsan menyaksikan Aidil Zafuan hanya melihat tanpa melakukan apa-apa seperti mengawal pemain lawan mahupun cuba mengasak Ikhsan Fandi untuk mendapatkan penguasaan bola.

Melihat anak buahnya dikecam netizen menyaksikan 'bos' JDT Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) tampil mempertahankan Aidil apabila mempersoalkan pemain terbabit dipersalahkan atas jaringan terbabit.

"Right back naik sampai dalam kotak lepas tu tak turun balik. Second bila sampai tak stop the cross, so salah sapa? Centre back? Pergi tengok replay," katanya. Berdasarkan perlawanan itu menyaksikan Dion Cools gagal mengawal posisinya dengan baik apabila sering dibiarkan 'lompong' hingga membuka ruang kepada Ikhsan melakukan gerakan berbahaya untuk menjaringkan gol.

Pada minit ke-30 Ikhsan yang mendapat bola dan membuat larian di posisi Cools sehingga ke depan gawang tanpa sebarang gangguan sebelum pemain itu menyumbat gol pertama Singapura.

Gol kedua Ikhsan pula sekali lagi menunjukkan kelemahan Cools apabila tidak berada di posisinya dengan cepat selain menghalang pemain itu membuat gerakan sebelum melepas rembatan untuk gol kemenangan tuan rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2022 @ 12:09 PM