BEKAS pemain Sepanyol Fernando Llorente mencabut undian suku akhir Liga Europa di Nyon.
BEKAS pemain Sepanyol Fernando Llorente mencabut undian suku akhir Liga Europa di Nyon.
Reuters

Nyon, Switzerland: Liverpool akan menentang kelab Serie A Atalanta di suku akhir Liga Europa manakala pendahulu Bundesliga Bayer Leverkusen berdepan West Ham United selepas tamat sesi undian di ibu pejabat Uefa di Nyon hari ini.

Skuad Juergen Klopp Liverpool dalam misi memburu satu lagi trofi sebelum pengurus dari Jerman itu meninggalkan mereka pada penghujung musim dan berdepan prospek menentang skuad Xabi Alonso Leverkusen pada final.

Alonso bekas pemain tengah Liverpool antara calon hangat menggantikan Klopp di Anfield.

Liverpool sebelum ini menentang Atalanta dalam aksi peringkat kumpulan UCL 2020-21, tewas 0-2 di tempat sendiri tetapi menang besar 5-0 di tempat lawan.

AC Milan pula memburu trofi buat kali pertama dan mereka akan menentang naib juara musim lalu AS Roma dalam pertembungan kedua-dua pasukan Itali.

Milan kini di tangga kedua Serie A, 16 mata di belakang Inter Milan manakala Roma di tempat kelima tetapi mereka semakin menyerlah sejak Daniele De Rossi menggantikan Jose Mourinho apabila meraih enam kemenangan dalam lapan aksi liga.

Benfica diundi menentang kelab Perancis Olympique de Marseille dan kedua-dua kelab mara ke final kejohanan sebanyak tiga kali. Pemenang aksi suku akhir itu akan berdepan sama ada Liverpool atau Atalanta.

Satu lagi separuh akhir bakal menyaksikan pemenang antara Milan atau Roma menentang Bayer Leverkusen atau West Ham.

Final Liga Europa akan berlangsung pada 22 Mei di Stadium Stadium Aviva, Dublin.

Dalam undian Liga Konferens Europa, Aston Villa menentang Lille di suku akhir. Pemenang akan menentang sama ada Olympiacos atau Fenerbahce di separuh akhir.

Finalis tahun lalu Fiorentina berdepan kelab Czech Viktoria Plzen manakala Club Brugge berdepan cabaran PAOK dari Greece dalam satu lagi aksi suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2024 @ 10:16 PM