Undian Liga Europa di Nyon. FOTO AFP
Undian Liga Europa di Nyon. FOTO AFP
AFP

MANCHESTER United mungkin berdepan seteru Inggeris, Wolverhampton Wanderers dalam saingan separuh akhir Liga Europa (UEL) di Jerman pada Ogos ini.

Majlis undian di Nyon, Switzerland hari ini, menyaksikan kedua-dua wakil Inggeris berada di laluan sama.

Perlawanan final Liga Europa akan berlangsung di Cologne pada 21 Ogos. Sementara suku akhir dan separuh akhir menyaksikan Cologne, Duisburg, Duesseldorf dan Gelsenkirchen sebagai tuan rumah.

Sebelum saingan 16 terakhir dilengkapkan.

Skuad United kendalian Ole Gunnar Solskjaer yang mempamerkan aksi cemerlang sejak penyambungan semula Liga Perdana bulan lalu, selesa melangkah ke peringkat lapan terakhir selepas menang 5-0 ke atas wakil Austria, LASK di tempat lawan pada pusingan pertama.

United akan bertemu Istanbul Basaksehir atau FC Copenhagen di suku akhir dengan Wolves, Olympiakos, Sevilla ataupun Roma menanti mereka di separuh akhir.

Wolves pula terikat 1-1 dengan Olympiakos pada aksi pertama dan berdepan ujian di Molineux dalam usaha menempah pertemuan dengan Sevilla ataupun Roma pada peringkat seterusnya.

Jika mereka melepasi halangan Olympiakos dan Roma atau Sevilla, mereka berdepan kemungkinan bertemu United di separuh akhir.

Laluan Rangers pula tampak sukar apabila ketinggalan 1-3 secara agregat di Bayer Leverkusen dan pemenang aksi ini akan bertemu Inter Milan atau Getafe pada aksi suku akhir.

Undian suku akhir Liga Europa

Wolfsburg/ Shakhtar Donetsk mln Eintracht Frankfurt/ FC Basel

LASK/ Manchester United mln Istanbul Basaksehir/Copenhagen

Inter Milan/ Getafe mln Rangers/ Bayer Leverkusen

Olympiakos/ Wolves mln Sevilla/ Roma

(Aksi berlangsung 10 dan 11 Ogos)

Undian separuh akhir Liga Europa

Olympiakos/ Wolves / Sevilla / Roma mln LASK/ Manchester United/ Istanbul Basaksehir/ Copenhagen

Inter Milan/ Getafe/ Rangers/ Bayer Leverkusen mln Wolfsburg/ Shakhtar Donetsk/ Eintracht Frankfurt/ FC Basel

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2020 @ 9:55 PM