PemainAtalanta Gianluca Scamacca menjaringkan gol kedua ketika pasukannya membelasah Liverpool 3-0.
PemainAtalanta Gianluca Scamacca menjaringkan gol kedua ketika pasukannya membelasah Liverpool 3-0.
Reuters

Liverpool: Nasib malang menimpa Liverpool apabila pasukan itu dibelasah 3-0 oleh Atlanta dengan Gianluca Scamacca meledak dua kali untuk kelab Itali itu pada aksi suku akhir pertama Liga Europa di Anfield.

Selain itu, sebuah lagi kelab bekas juara Eropah, AC Milan, turut tewas di laman sendiri kepada AS Roma, 1-0.

Atalanta mendahulu selepas 38 minit apabila Scamacca yang tidak dikawal melepaskan rembatan rendah mengatasi penjaga gol, Caoimhin Kelleher, hasil hantaran tepat Davide Zappacosta.

Scamacca menghukum pertahanan lemah Liverpool buat kali kedua pada minit ke-60 dengan memanfaatkan hantaran lintang Charles De Ketelaere sebelum Mario Pasalic meledak gol ketiga pada minit ke-83.

Jaringan lewat permainan pemain gantian Bayer Leverkusen, Jonas Hofmann dan Victor Boniface memberikan kemenangan 2-0 buat pendahulu Bundesliga itu ke atas West Ham United.

Penjaga gol pelawat, Lukasz Fabianski bekerja keras menyelamatkan gawang West Ham sepanjang permainan sebelum Hofmann memecah kebuntuan pada minit ke-83 dan Bonface menemui sasaran dalam masa kecederaan.

Roma mengejutkan tuan rumah, AC Milan hasil tandukan padu Gianluca Mancini pada minit ke-17 selepas sepakan sudut Paulo Dybala.

Juara Portugal, Benfica menang 2-1 ke atas Olympique de Marseille di laman sendiri hasil jaringan Rafa Silva dan penyerang Argentina, Angel Di Maria.

Aksi timbal balik pusingan suku akhir ini akan berlangsung pada Khamis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2024 @ 10:03 AM