LEVERKUSEN buru piala kedua akan berdepan Atalanta pada final Liga Europa awal pagi Khamis ini. -FOTO Reuters
LEVERKUSEN buru piala kedua akan berdepan Atalanta pada final Liga Europa awal pagi Khamis ini. -FOTO Reuters
AFP

Dublin: Xabi Alonso dari Bayer Leverkusen boleh mengesahkan statusnya sebagai bintang muda dalam bidang kejurulatihan pada final Liga Europa pada awal pagi Khamis ini, tetapi dia terlebih dahulu perlu menewaskan seorang pakar yang licik, Gian Piero Gasperini dari Atalanta.

Alonso menolak tawaran dari bekas kelabnya, Liverpool dan Bayern Munich, untuk kekal sebagai jurulatih Leverkusen selepas membawa pasukan itu meraih gelaran Bundesliga pertama mereka dan melakar sejarah pasukan pertama mencatatkan rekod bersih tanpa tewas sebarang perlawanan.

Juara Jerman itu tidak tewas dalam 51 perlawanan dalam semua pertandingan dan boleh merangkul gelaran treble dalam dua final minggu ini.

Leverkusen akan menamatkan musim gemilang sekiranya berjaya menewaskan Kaiserslautern dari divisyen kedua pada final Piala Jerman Sabtu ini.

Tetapi mereka akan berdepan tugas yang jauh lebih sukar di Dublin menentang pasukan Atalanta yang juga mencapai musim terbaik dalam sejarah mereka.

Sebuah kelab wilayah dari Bergamo, Atalanta secara tradisinya hidup dalam bayangan gergasi AC dan Inter Milan.

Bagaimanapun, mereka sedang menikmati kebangkitan di bawah Gapserini dan akan beraksi dalam Liga Juara-Juara musim depan buat kali keempat dalam tempoh lima tahun.

Atalanta tidak menjulang piala selama 61 tahun selepas tewas tiga perlawanan akhir Coppa Italia dalam enam musim terakhir yang terbaru kepada Juventus kurang seminggu lalu.

Gasperini berkata selepas mara ke final Eropah pertama kelab itu bahawa ia adalah kejayaan tertinggi dalam kerjayanya dari segi pencapaian dan prestij.

"Saya tidak fikir memenangi sebuah piala sentiasa menjadi sebahagian daripada ukuran di mana kejayaan dinilai.

"Setiap orang mempunyai matlamat mereka sendiri. Apabila anda berjaya melebihi matlamat yang ditetapkan seperti yang berlaku di Atalanta, anda perlu berpuas hati.

"Jika kami berjaya menambah satu lagi piala tentu saja, kita akan lebih berpuas hati lagi."

Pengurus berusia 61 tahun itu berkata bahawa "dunia Atalanta sudah berubah" sejak dia mengambil alih lapan tahun yang lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 1:16 PM