STUART (kiri) berkata Lesen yang diperoleh bukan untuk dijual tetapi boleh dipindah milik dengan kelulusan MFL. FOTO  HAZREEN MOHAMAD
STUART (kiri) berkata Lesen yang diperoleh bukan untuk dijual tetapi boleh dipindah milik dengan kelulusan MFL. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memberi amaran keras kepada pasukan Liga M3 yang bakal mendapat lesen kebangsaan untuk beraksi di Liga Super musim 2024/25 agar tidak menjual lesen berkenaan kepada pihak lain.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk menarik balik lesen terbabit jika pasukan itu dijual dan bermula dari kosong.

Tegas Stuart lagi, MFL berhak untuk tidak meluluskan sebarang pengambilalihan oleh sesuatu pasukan daripada pihak ketiga sekiranya pembeli tidak menepati kriteria yang ditetapkan.

"Proses pelesenan ini diberikan kepada sesuatu pasukan menerusi permohonan yang dikemukakan oleh pasukan itu. Jika pasukan itu dijual, MFL ada hak untuk menarik balik lesen jika saya tidak luluskan pengambilalihan terbabit.

"Bagi pengambilalihan itu, kita kena buat proses ketekunan wajar (due diligence) terhadap pihak yang akan membeli pasukan itu, latar belakang mereka dan sumber kewangan mereka untuk memastikan kestabilan pasukan itu.

"Kalau hanya beri lesen, itu bermakna pasukan itu perlu bermula dari kosong, jadi adakah ia sesuai untuk liga kita. Lesen yang diperoleh bukan untuk dijual tetapi boleh dipindah milik dengan kelulusan MFL.

"Bukannya kita bagi (lesen) dan kemudian ia dijual ikut pasukan itu," kata Stuart.

Sementara itu, Stuart memaklumkan proses temuduga keempat-empat pasukan yang mengemukakan permohonan untuk beraksi di Liga Super dianjakkan pada Isnin depan.

MFL membuka kembali permohonan bagi lesen luar biasa kepada pasukan Liga M3 yang berminat bagi mengisi satu kekosongan dalam Liga Super selepas Kelantan FC tidak mendapat lesen kebangsaan untuk beraksi di Liga Super musim 2024/25.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2024 @ 6:47 PM