STUART menegaskan pasukan mahu bersaing di Liga Super harus menepati kriteria ditetapkan. FOTO ARKIB NSTP
STUART menegaskan pasukan mahu bersaing di Liga Super harus menepati kriteria ditetapkan. FOTO ARKIB NSTP
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menegaskan pasukan mahu bersaing dalam Liga Super bagi musim 2024/2025 harus menepati kriteria ditetapkan.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam berkata, jika tiada pasukan dari Liga M3 yang menetapi syarat, Liga Super musim ini akan diteruskan dengan pasukan sedia ada.

"Betul, jika tiada mana-mana pasukan lulus (syarat ditetapkan), pasukan dalam Liga Super akan ada 13 pasukan sahaja," katanya kepada Arena Metro.

Ketika ini, hanya ada 13 pasukan sahaja untuk Liga Super musim ini selepas Kelantan FC disingkirkan dari liga utama.

Disebabkan itu, MFL membuka satu slot untuk melengkapkan menjadi 14 pasukan seperti sebelum ini.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan MFL terpaksa membuka 'talian hayat' mengejut kepada pasukan dari Liga M3 untuk menghantar kembali permohonan lesen luar biasa bagi menyertai Liga Super musim 2024/2025.

Ini berikutan Kelantan FC gagal mendapatkan lesen kebangsaan, sekali gus tidak dibenarkan beraksi di saingan Liga Super bagi musim 2024-2025.

Keputusan itu dibuat kerana The Red Warrior gagal untuk melengkapkan dua kriteria kewangan di bawah sub-kriteria F.04 (No Payables Overdue Towards Employees, LHDN, KWSP, PERKESO & EIS – As At June) dan sub-kriteria F.11 (No Payables Overdue Towards Employees, LHDN, KWSP, PERKESO & EIS – As At August) sebelum tarikh akhir yang ditetapkan iaitu 30 November 2023 dan 31 Disember 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2024 @ 2:28 PM