PENGERUSI First Instance Body (FIB), Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif. FOTO ARKIB NSTP
PENGERUSI First Instance Body (FIB), Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif. FOTO ARKIB NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Nasib empat pasukan daripada Liga M3 yang memohon Lesen Kebangsaan bakal diketahui dalam masa terdekat selepas sesi temu duga bersama wakil kelab terbabit selesai diadakan semalam.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi First Instance Body (FIB), Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif yang menjelaskan pihaknya bakal membentangkan hasil sesi temu duga itu kepada Ahli Lembaga Pengarah Liga Bolasepak Malaysia (MFL) esok, bagi memutuskan kelab bertuah layak beraksi di Liga Super, musim ini.

"Saya akan beri penerangan esok dan terpulang kepada MFL untuk buat keputusan itu apabila saya hanya bahagian 'recommendation'.

"Keputusan terletak pada Ahli Lembaga Pengarah, mereka yang akan putuskan. Sama ada ia akan diumumkan esok atau hari berikutnya, saya tak pasti.

"Tapi memang akan diumumkan secepat mungkin (bagi memberi peluang pasukan yang layak ke Liga Super membuat persiapan)," katanya ketika dihubungi.

Difahamkan, empat pasukan Liga M3 yang hadir temu duga itu adalah kelab Kuala Lumpur Rovers (KL Rovers), Imigresen FC, Harini FT dan Perlis United.

Menurut Sheikh Mohd Nasir, pihaknya amat memandang berat soal kemampuan kewangan kelab terbabit dan perkara itu menjadi aspek terpenting dalam sesi temu duga itu.

Ujarnya, hanya kelab yang dilihat memiliki kekuatan kewangan kukuh bakal dicadangkan untuk menerima Lesen Kebangsaan itu, sekali gus beraksi di Liga Super.

"Kita akan beri 'recommendation' pasukan mana dilihat layak beraksi di Liga Super, jadi cuma kriteria kita ambil semalam lebih kepada aspek kewangan.

"Kita lihat daripada kemampuan dia (kekuatan kewangan), daripada segi hala tuju masa depan dan penyerahan dokumen itu semua penting.

"Ada satu pasukan, saya tak boleh nak sebut...yang datang memang teruja dan tak letakkan harapan dapatkan lesen, dan itupun ada.

"Cuma dia (wakil kelab itu) datang dengan nada yang 'humble' datang, kalau boleh tahun depan dia nak cuba dapatkan dan penuhi peraturan ini pada tahun depan," katanya.

Sebelum ini, MFL mengesahkan tiga pasukan teratas Liga M3 2023 iaitu juara Imigresen FC, naib juara KL Rovers dan pasukan tangga ketiga, Harini FT mengemukakan permohonan sehingga tarikh akhir bagi lesen luar biasa untuk menyertai saingan Liga Super musim 2024/25.

Perlis United yang lewat menyerahkan permohonan turut diberikan peluang dan dianggap antara calon hangat meraih lesen.

MFL sebelum ini mengumumkan Kelantan FC gagal mendapatkan lesen kebangsaan susulan masalah tunggakan gaji, sekali gus tidak dapat beraksi dalam Liga Super musim 2024/25.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2024 @ 5:24 PM