SKUAD Perlis United isi slot ke-14. FOTO Perlis United FC
SKUAD Perlis United isi slot ke-14. FOTO Perlis United FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Biarpun Perlis United FC (PUFC) menjadi pilihan terbaik untuk mengisi slot ke-14 bagi menyertai saingan Liga Super musim ini, kelab terbabit masih perlu memenuhi syarat tambahan untuk layak menerima lesen luar biasa (extraordinary license) atau berdepan kemungkinan tidak diberikan Lesen Kebangsaan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Lantas jika PUFC tidak berjaya memenuhi syarat yang diletakkan sehingga hujung bulan ini, MFL sedia meneruskan saingan Liga Super dengan hanya membabitkan persaingan 13 pasukan.

Perkara itu dikongsikan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam yang mengesahkan PUFC masih belum diberikan Lesen Kebangsaan namun kelab popular dengan gelaran Singa Utara itu adalah calon terbaik untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Kelantan FC yang 'diturunkan pangkat' ke Liga M3.

Menurut Stuart, terdapat empat kriteria perlu diselesaikan oleh PUFC sebelum hujung bulan ini termasuk soal dokumentasi penajaan dan bukti dana pasukan terbabit.

Begitupun jelasnya, MFL tetap memiliki pelan tersendiri sekiranya PUFC gagal memenuhi syarat berkenaan dengan saingan Liga Super bakal diteruskan babit 13 pasukan sahaja.

"Ahli Lembaga Pengarah membuat keputusan tidak memberi lesen kepada Perlis (PUFC) di mana beberapa kriteria perlu diselesaikan sebelum diterima masuk, jadi lesen belum diberi kepada Perlis.

"Lesen hanya akan diberi jikalau pasukan Perlis menyelesaikan empat perkara. Kita tidak mahu menggantikan daripada satu pasukan kepada satu lagi pasukan bermasalah.

"Kita perlu tahu juga, penglibatan pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M) bukan kita, yang menambah nilai kepada liga adalah pasukan. Ia termasuk dengan kehadiran penyokong yang boleh naikkan nilai kepada liga.

"Sebab saya tak memikirkan slot satu pasukan tetapi saya fikirkan tentang 'value' yang boleh di bawa kepada liga," katanya ketika ditemui pada aksi persahabatan antara SK Riong (gabungan Harian Metro dan Kumpulan NSTP) menentang MFL di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (MFL), semalam.

Sebagai rekod, setiap permohonan perlu melengkapkan kriteria dan sub-kriteria iaitu Infrastruktur, Kakitangan dan Pentadbiran, Sukan, Perundangan, Kewangan serta Perniagaan seperti dinyatakan dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2023.

Selain PUFC, tiga lagi pasukan yang turut mengemukakan permohonan bagi lesen luar biasa ini adalah Imigresen FC, KL Rovers (Kuala LUmpur Rovers) dan Harini FT.

Berdasarkan semakan dan penilaian teliti terhadap setiap permohonan yang dikemukakan, PUFC memiliki dokumen lebih kukuh dengan salinan surat penajaan berjumlah RM25 juta daripada empat potensi penaja iaitu Mudim Zakaria Food Industries Sdn Bhd, Ivory Properties Group Berhad, M.A Intelligent Holdings Sdn Bhd dan Al Razi Holding (M) Sdn Bhd.

Tegas Stuart lagi, beliau mahu mengingatkan semua pihak permohonan dibuka kepada semua pasukan Liga M3 adalah permohonan lesen luar biasa (extraordinary license), di mana pada hujung musim lalu dua pasukan yang menjuarai divisyen dua iaitu Imigresen FC dan naib juara, KL Rovers tidak berjaya memenuhi syarat pelesenan.

"Perlis ada memohon tempoh lanjutan selepas tarikh akhir penyerahan permohonan dan oleh sebab itu permohonan mereka diterima dan diproses, tidak timbul isu Perlis hantar selepas tarikh akhir kerana mereka ada memohon lanjutan masa.

"Kenapa pasukan nombor 8 atau nombor 9 naik (ke Liga Super), patutnya nombor 1 atau nombor 2 yang naik. Tapi proses ini adalah proses luar biasa dan bukannya proses biasa.

"Lesen belum lagi diberikan kepada Perlis, tapi lesen akan diberi jika dia memenuhi empat syarat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2024 @ 12:46 PM