PENGENDALI TFC, Steinbruckner (kanan) ketika sidang media di Australia. -FOTO TFC
PENGENDALI TFC, Steinbruckner (kanan) ketika sidang media di Australia. -FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) mempunyai dua misi penting apabila berdepan kelab Central Coast Mariners pada aksi pusingan kedua Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Stadium Industree Group Gosford, Australia, esok.

Jurulatihnya, Tomislav Steinbruckner berkata, selain mahu mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Kumpulan G, skuadnya turut mengidam membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata berdepan kelab terbaik Liga Australia musim lalu itu.

Jelas pengendali kelahiran Croatia itu, misi itu tidak mustahil dapat dicapai kerana sejarah sudah membuktikan TFC berjaya menundukkan kelab itu pada aksi pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, September lalu dengan kemenangan 1-0.

"Misi kami ke Australia adalah untuk mengekalkan rekod tanpa kalah dan mengintai peluang ke pusingan seterusnya dengan berbaki dua perlawanan lagi termasuk menentang kelab Australia itu.

"Misi itu mampu dicapai jika pemain beraksi mengikut perancangan selain tidak terlalu menghormati pasukan lawan," katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun jelas bekas Pengarah Teknikal Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd musim lalu itu, ada nada kebimbangan menyelubungi fikirannya terutama beliau tidak dapat menurunkan barisan idamannya ketiak menumpaskan kelab dari negara kangaru itu pada aksi pertama.

Katanya, ketiadaan empat tonggak pertahanan iaitu Muhammad Azam Azmi Murad, Mohammad Shahrul Nizam Ros Hasni, Muhammad Safwan Mazlan dan Muhammad Alif Zakaria jelas begitu dirasai selain merencatkan perancangannya dalam aksi penting itu.

"Ramai pemain utama cedera dan saya tidak mempunyai banyak pilihan melainkan menurunkan pemain yang beraksi ketika tewas 0-4 kepada Sabah FC dalam saingan Liga Super, Jumaat lalu.

"Dalam perancangan, saya akan membawa masuk pertahanan import Uzbekistan, Sardor Kulmatov bagi mengimbangi barisan pertahanan bersama tiga pertahanan tempatan, kerana barisan pertahanan adalah perkara asas dalam bola sepak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2023 @ 12:14 PM