PENGENDALI Central Coast Mariners, Abbas Saad. FOTO Ghazali Kori
PENGENDALI Central Coast Mariners, Abbas Saad. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pengendali kelab Australia, Central Coast Mariners, Abbas Saad menyifatkan anak buahnya tidak bernasib selepas dikejutkan dengan kekalahan 0-1 kepada Terengganu FC (TFC) pada aksi pertama Kumpulan G saingan Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam tadi.

Jelas bekas pemain import Johor itu, deretan peluang terhidang yang dimiliki anak buahnya membuktikan skuadnya berpeluang besar untuk melakar kemenangan pada aksi sulung itu.

Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya sekali gus menyaksikan bekas pemain kebangsaan Australia kelahiran Lubnan itu kecewa apabila melihat penyudah tumpul barisan penyerangnya biarpun mendominasi permainan terutama pada babak pertama perlawanan.

Bagaimanapun jurulatih yang pernah menyarung jersi 13 kelab berbeza sepanjang kariernya sebelum menggantung but pada 2016  enggan menyalahkan 100 peratus anak buahnya berikutan kekalahan itu.

Pada perlawanan itu gol kemenangan skuad Penyu hasil jaringan sendiri pertahanan pelawat, Nathan Paull pada masa kecederaan babak pertama sekali gus menyaksikan skuad TFC menghuni di tangga kedua kumpulan di belakang pendahulu, Bali United dari Indonesia yang melakar kemenangan 5-2 menumpaskan kelab Filipina, Stallion Laguna FC.

"Secara keselurahan permainan yang diperagakan anak buah sangat bagus, namun permainan bola sepak adalah perlu menjaringan gol, jika anda gagal menjaringkan gol, nasib malang akan menimpa anda biarpun menguasai permainan, jadi kami gagal di situ dengan bahagian penyudah yang agak tumpul.

"Jika dilihat deretan peluang yang dimiliki berbanding lawan, ia pasti mampu menjaringkan gol sekali gus dapat menyamakan kedudukan, tapi yang berlaku adalah sebaliknya, sejujurnya meremang bulu roma saya, jika saya ada rambut pastinya terpacak, namun saya botak," katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan itu.

Mengulas lanjut, Abbas mengharapkan aksi kedua menentang Stallion Laguna FC pada 4 Oktober ini di Stadium Industree Group Goford mampu menghadirkan senyuman buat kem pasukannya.

"Kami akan balik dan memperbaiki kelemahan yang ada dalam masa dua minggu sebelum perlawanan kedua nanti untuk melakar kemenangan pertama lebih-lebih lagi beraksi di tempat sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2023 @ 12:55 PM